
Pihak berkuasa Indonesia mengambil langkah ketat bagi mengekang penularan varian Omicron di republik itu.
Pusat pelancongan popular Indonesia – Pulau Bali – bakal menerima kedatangan pelancong antarabangsa dari China, Jepun dan Korea Selatan mulai pertengahan bulan ini susulan jumlah jangkitan Covid-19 di republik itu semakin menurun.
Menteri kanan, Luhut Panjaitan memaklumkan pelancong dari New Zealand, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu juga dibenar mengunjungi Indonesia melalui penerbangan antarabangsa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di pulau pelancongan itu mulai 14 Oktober ini.
Sehingga kini, hanya lapangan terbang Jakarta dan Manado yang dibuka untuk penerbangan antarabangsa.
Sebelum ini, pembukaan semula Bali ditunda beberapa kali apabila republik itu sedang berjuang melawan penularan Covid-19, terutama varian Delta yang mudah merebak.
Tindakan kerajaan Republik Indonesia untuk meningkatkan ujian saringan dan mempercepatkan vaksinasi, memberi kesan memberangsangkan dengan angka kes dan kematian akibat Covid-19 sehingga hari ini menurun ke tahap terendah sejak Mac tahun lalu.
Indonesia menetapkan peraturan kemasukan pelancong antarabangsa dengan meminta bukti sijil lengkap vaksinasi sebelum membenarkan kemasukan visa luar dan pelancong dari seluruh dunia.
Selain itu, pelancong antarabangsa juga wajib menjalani kuarantin selama lapan hari sebelum mereka dibenarkan mengunjungi seluruh republik itu.
Sementara itu, Badan Pengawalan Ubat dan Makanan (BPOM) Indonesia serta Kementerian Kesihatan Republik itu sedang mengkaji ubat antivirus molnupiravir yang dikeluarkan oleh syarikat farmasi multinasional Amerika, Merck & Co dan Ridgeback Biotherapeutics LP untuk merawat Covid-19 dan ia dijangka siap akhir tahun ini, jelas Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin.
Kerajaan Indonesia sudah membenarkan gimnasium dan restoran di pawagam dibuka semula dengan kapasiti terhad dan mengamalkan peraturan kesihatan yang ketat.
Semalam, dalam tempoh 24 jam pihak berkuasa Indonesia melaporkan 922 kes baharu Covid-19 dan ianya catatan paling rendah direkodkan sejak Jun tahun lalu.
Menurut data Kementerian Kesihatan, hampir 4.2 juta populasi di republik itu disahkan positif Covid-19 dengan lebih 142,261 kematian direkodkan sejak Mac tahun lalu. – Agensi