Badan pengawal ubat Indonesia baharu luluskan vaksin Pfizer

Vaksin Covid-19, comirnaty Pfizer-BioNtech.

Ketika negara keempat di dunia paling padat penduduk sedang berdepan gelombang penularan varian Delta Covid-19 yang kini merebak di seluruh Pulau Jawa dan Bali, pihak berkuasa Indonesia menambah lagi kelulusan penggunaan vaksin kelima untuk diberikan kepada rakyatnya.

Terbaharu, Badan Pengawal Ubat dan Makanan Indonesia (BPOM) memberi kebenaran kecemasan (EUA) kepada pihak berkuasa republik itu untuk menggunakan vaksin Pfizer-BioNtech Covid-19, setelah melakukan kajian keberkesanan dan keselamatannya.

“Pada Rabu 14 Julai 2021 BPOM mengeluarkan EUA untuk vaksin comirnaty yang dihasilkan oleh Pfizer dan BioNTech dengan teknologi m-RNA,” kata Ketua BPOM Penny K Lukito dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengatakan bahawa penilaian kualiti vaksin Pfizer itu mematuhi panduan antarabangsa.

BPOM bersama dengan Jawatankuasa Pakar Nasional untuk Jawatankuasa Penilaian Vaksin Covid-19 dan Kumpulan Penasihat Teknikal Indonesia mengenai Imunisasi (ITAGI) mengakui vaksin Pfizer selamat dan boleh diterima di semua demografi usia.

Reaksi yang paling biasa sebelum imunisasi termasuk rasa sakit di lokasi suntikan, keletihan, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi, dan demam.

Beliau juga menjelaskan bahawa penggunaan vaksin Covid-19 adalah selamat untuk individu yang berumur 12 tahun ke atas. Vaksin mesti diberikan dalam selang tiga minggu antara dos pertama dan kedua.

Ujian klinikal ketiga vaksin Pfizer menunjukkan bahawa keberkesanan untuk penerima berusia 16 tahun ke atas adalah 95.5 peratus dan 100 peratus bagi remaja berusia 12 hingga 15 tahun.

BPOM telah mengeluarkan EUA untuk lima vaksin Covid-19 di Indonesia, iaitu Coronavac dari Sinovac, AstraZeneca yang diperoleh dari skema COVAX, Sinopharm dari China, Moderna dari Amerika Syarikat, dan yang terbaru adalah Pfizer. – Agensi

POPULAR