Australia terus catat peningkatan kes baharu Covid-19

Australia mencatatkan satu lagi peningkatan jangkitan Covid-19 pada Selasa apabila varian Omicron yang pantas menular mengganggu pembukaan semula ekonomi secara berperingkat, manakala pemimpin negara mempertikaikan kawalan sempadan antara negeri.

Tiga negeri yang paling ramai penduduknya, New South Wales (NSW), Victoria dan Queensland, melaporkan 10,000 kes baharu, berbanding 10,186 kes pada Isnin.

Terdapat lima kematian Covid-19 dilaporkan, walaupun pihak berkuasa tidak menyatakan sama ada ianya berkaitan dengan varian Omicron atau tidak.

Lima negeri dan wilayah lain di Australia bagaimanapun belum melaporkan jumlah jangkitan baharu.

Varian omicron, yang menurut pakar perubatan lebih mudah menular tetapi jangkitannya kurang teruk berbanding varian lain, mula merebak di Australia sebaik negara itu memulakan rancangannya membuka semula sempadannya.

Dengan jumlah kes yang meningkat semula – walaupun kadar vaksinasi warga berumur lebih 16 tahun mencapai lebih 90 peratus – pemimpin negeri dan wilayah di Australia mengenakan semula beberapa langkah pencegahan, termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka dan pendaftaran masuk kod QR di tempat umum.

Namun, jumlah kes yang semakin meningkat menyebabkan beribu-ribu pekerja sektor perhotelan, hiburan dan penerbangan – sektor paling teruk terkesan akibat ‘lockdown’ – terpaksa menjalani kuarantin kendiri, menyebabkan pertunjukan teater dibatalkan, restoran ditutup dan penerbangan ditangguhkan.

Varian baharu itu juga telah mencetuskan semula polimik politik di antara negeri-negeri yang menolak cadangan membuka semula sempadan masing-masing.

NSW, negeri yang menempatkan kota Sydney dan satu pertiga daripada 25 juta penduduk Australia, menggesa jirannya, Queensland beralih daripada ujian klinikal mandatori kepada ujian antigen bagi individu yang melancong di negeri itu, susulan aduan masa menunggu selama berjam-jam.

Menteri Kesihatan NSW, Brad Hazzard berkata satu perempat daripada ujian PCR negerinya adalah “ujian pelancongan,” menyebabkan tekanan besar kepada sistem kesihatan, barisan ujian yang luar biasa panjang dan masa menunggu untuk keputusan, kadang-kadang berhari-hari.

Dalam satu kes, klinik ujian Sydney menghantar keputusan negatif yang salah kepada kira-kira 1,400 orang.

Hazzard berkata kejadian itu berlaku akibat daripada “kesilapan manusia, dan apabila orang berada di bawah tekanan, kesilapan lebih kerap berlaku.”

Sempadan antarabangsa Australia kekal ditutup, tetapi warga Australia boleh pulang tanpa menjalani kuarantin wajib di hotel dan negara itu telah menyatakan ia akan membenarkan pekerja mahir dan pelajar asing tertentu masuk. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR