Australia singkatkan tempoh masa suntikan dos penggalak

Australia akan menyingkatkan tempoh masa menunggu kepada penduduknya untuk mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19 berikutan lonjakan kes akibat varian Omicron.

Sebelum ini, Australia menawarkan suntikan dos penggalak kepada semua individu berumur 18 tahun ke atas yang sudah melengkapkan dos kedua vaksin selepas enam bulan suntikan.

Akibat lonjakan kes Omicron, Menteri Kesihatannya, Greg Hunt memaklumkan tempoh masa akan disingkatkan kepada lima bulan selepas melengkapkan dos kedua.

Jelasnya, suntikan dos penggalak selepas lima bulan lengkap dos kedua akan memberikan perlindungan yang lebih kuat dan tahan lebih lama serta dapat membantu mencegah penularan virus.

Australia akan menggunakan vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Moderna dalam program suntikan dos penggalaknya.

Selain itu, Australia juga merupakan antara negara di dunia yang paling banyak penduduknya divaksin, dengan lebih 90 peratus individu berumur 16 tahun ke atas sudah lengkap divaksin.

Namun, Australia semalam dalam tempoh 24 jam melaporkan 1,556 kes baharu akibat jangkitan berlarutan sehingga menghampiri tahap tertinggi sejak enam minggu lalu dari sehari sebelumnya.

Manakala, negeri paling padat penduduk, New South Wales menunjukkan penurunan kes baharu buat pertama kalinya dalam enam hari, mencatatkan 485 jangkitan baharu berbanding 560 kes baharu kelmarin.

Sementara itu, terdapat 55 kes di kesan dari varian Omicron di NSW selepas 10 kes disahkan semalam dan dijangka lebih banyak lagi kes bakal menyusul selepas pengesahan ujian genom.

Di Victoria pula, mencatatkan 1069 kes baharu, berkurangan daripada 1,193 kes yang dicatatkan kelmarin.

Sehingga kini, Australia sudah merekodkan lebih 229,000 jangkitan Covid-19 dan angka korban akibat jangkitan virus itu juga jauh berkurangan berbanding negara dunia lain iaitu hanya 2,100 kematian.

BERITA BERKAIT
POPULAR