
Pelancong asing boleh kembali ke Australia dalam masa dua atau tiga minggu lagi, lapor akhbar Herald Sun. - Gambar Getty
Australia merancang membuka semula sempadannya kepada pelancong antarabangsa secepat mungkin, kata Perdana Menteri Scott Morrison sambil menambah Parlimen negara itu akan membahaskan langkah berkenaan minggu ini.
Pelancong asing boleh kembali dalam masa dua atau tiga minggu, lapor akhbar Herald Sun hari ini, memetik sumber kanan kerajaan yang tidak dinamakan.
Pengumuman daripada kerajaan mungkin dibuat sejurus Isnin berikutan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negara, kata akhbar itu.
Menarik balik sekatan ke atas pelawat antarabangsa akan meningkatkan sektor hospitaliti negara, yang musnah akibat ‘lockdown’ dan kawalan sempadan yang ketat bagi mengekang penularan Covid-19.
Sebelum wabak itu, industri pelancongan menjana lebih AS$84.9 bilion daripada perolehan tahunan dan menggaji kira-kira lima peratus daripada tenaga kerja, menurut Tourism Australia.
“Kami bersiap sedia untuk membuka semula sempadan secepat mungkin,” kata Menteri Dalam Negeri Karen Andrews dalam wawancara ABC TV, sambil menegaskan beliau tidak mempunyai maklumat lanjut namun percaya langkah itu akan dilakukan secepat mungkin.
Australia, yang menutup sempadannya pada Mac 2020, telah melalui fasa pembukaan semula secara berperingkat sejak beberapa bulan kebelakangan, dengan hanya membenarkan rakyat dan penduduknya, pulang, selain memberi peluang kepada pekerja mahir, pelajar antarabangsa dan pekerja bermusim tertentu, untuk masuk.
Populariti Morisson merosot dalam beberapa bulan kebelakangan ini, di sebalik persoalan berhubung cara beliau mengendalikan penularan varian Omicron, selain tekanan untuk mengadakan pilihan raya persekutuan yang perlu dilaksanakan menjelang Mei.
Walaupun varian Omicron yang sangat mudah menular terus merebak, kemasukan ke hospital dan jumlah kematian semakin stabil, dengan akhbar News Corp pada hujung minggu memetik sumber yang tidak dinamakan sebagai mengatakan bahawa Australia mungkin membuka semula sempadannya dalam masa dua atau tiga minggu.
“Kami melihat untuk dapat membuat keputusan membuka sempadan itu dan mengalu-alukan kemasukan semula pelancong antarabangsa. Saya yakin pembukaan itu semakin hampir,” kata Morrison hari ini. – Agensi