Australia pendekkan sela masa suntikan kedua, dos penggalak

Wilayah paling padat penduduk di Australia, New South Wales (NSW) merekodkan lonjakan angka jangkitan harian Covid-19 dalam tempoh hampir dua bulan.

Ia direkodkan ketika pihak berkuasa dalam usaha mencegah penularan Omicron yang pantas, tetapi kini, NSW masih melakukan persiapan untuk menarik balik semua sekatan.

Dalam satu kenyataan semalam, wilayah itu melaporkan 804 kes baharu dalam tempoh 24 jam, kenaikan 50 peratus daripada hari sebelumnya.

Dalam usaha mencegah penularan Omicron, kerajaan Australia memutuskan untuk memendekkan sela tempoh menunggu bagi suntikan dos penggalak Covid-19 akibat lonjakan kes daripada varian baharu itu.

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan akan menawarkan suntikan dos penggalak kepada semua populasi berumur 18 ke atas selepas melengkapkan dos kedua dalam tempoh 6 bulan.

Akan tetapi, dengan kenaikan kes varian Omicron, Menteri Kesihatan Australia, Greg Hunt menyatakan sela masa akan dipendekkan kepada lima bulan selepas suntikan dos kedua.

“Tindakan memendekkan sela masa akan membuatkan lebih 1.5 juta penduduk layak menerima suntikan dos penggalak bermula Ahad ini.

“Suntikan dos penggalak, dalam tempoh lima bulan atau lebih selepas suntikan dos kedua, akan memberikan perlindungan yang lebih kuat dan lebih berdaya tahan, sekali gus membantu mencegah penularan virus.

“Data dari Israel menunjukkan suntikan dos penggalak mampu mengurangkan kadar jangkitan dalam golongan umur yang layak, penyakit kritikal bagi golongan berumur 40 tahun ke atas dan kematian dalam golongan berumur 60 ke atas,” jelasnya.

Australia bakal menggunakan vaksin jenis Pfizer dan Moderna dalam program suntikan dos penggalaknya.

Sehingga kini, Australia mencatatkan negara paling ramai populasinya divaksin, dengan lebih 90 peratus penduduk berumur 16 tahun ke atas sudah lengkap divaksin. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR