Australia kesan kes ketujuh varian Omicron

Australia hari ini merekodkan penambahan kes positif Covid-19 akibat varian baharu Omicron menjadi tujuh kes sehingga kini.

Penemuan itu mendorong kerajaan negeri untuk memperketatkan lagi kawalan sempadan domestik manakala pakar kesihatan masih menunggu maklumat lanjut mengenai bahaya melibatkan varian baharu tersebut.

Wilayah paling padat penduduk di Australia, New South Wales (NSW) merekodkan kes ketujuh melibatkan seorang individu yang tiba dari Doha, Qatar pada 23 November lalu.

Difahamkan, individu berkenaan tidak pernah berkunjung ke negara Afrika Selatan dan dipercayai mungkin dijangkiti virus itu ketika dalam penerbangan.

Kerajaan Australia mengarahkan semua wilayah untuk mengelak perlaksanaan ‘buka tutup’ perintah berkurung sebagai tindak balas kepada kemunculan varian baharu ini.

Menteri Kesihatan NSW, Brad Hazzard memaklumkan pihak berkuasa kesihatan mengeluarkan amaran supaya kekal waspada sehingga pihaknya mengetahui lebih lanjut mengenai tindak balas kebolehjangkitan dan bahaya varian baharu itu.

“Virus ini sangat berbahaya dan ia muncul dalam beberapa bentuk yang berbeza, jangan sesekali mengambil mudah hal ini,” tegasnya.

Sementara itu, bandar terbesar Australia, Sydney sebelum ini sudah ‘bebas’ hampir empat bulan daripada perlaksanaan perintah berkurung bagi mencegah penularan varian Delta pada awal Oktober lalu.

Wilayah itu secara berperingkat melonggarkan sekatan berikutan peningkatan kadar vaksinasi di tempatnya.

Walaubagaimanapun, ada kerajaan di wilayah lain masih mengetatkan sekatan melibatkan perjalanan rentas negeri.

Manakala, kerajaan Australia Selatan yang masih tidak merekodkan kes varian Omicron memberitahu pihaknya akan melaksanakan ujian saringan Covid-19 bagi pengembara yang tiba dari wilayah NSW.

Selain itu, kerajaan negeri pulau mesra pelancong, Tasmania memaklumkan bermula minggu ini pihaknya akan melarang kebanyakan ketibaan dari luar.

Tindakan itu bertentangan dengan apa yang ditetapkan sebelum ini oleh kerajaan Persekutuan bagi membenarkan warga Australia yang lengkap divaksin ke wilayah itu jika menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Sementara itu, Australia juga terpaksa menunda rancangannya untuk membuka kembali sempadan negara itu dalam tempoh dua minggu bagi kemasukan migran berkemahiran dan pelajar asing.

Rakyat Australia yang tiba dari negara selatan Afrika wajib menjalani perintah kuarantin selama dua minggu di hotel yang disediakan.

Australia kembali menutup sempadan antarabangsanya dan melaksanakan sekatan ketat terhadap pergerakan domestik bagi membantu mengelakkan terjadinya lonjakan kes kematian akibat jangkitan Covid-19, seperti mana di negara lain.

Sehingga kini, Australia merekodkan hampir 212,000 kes jangkitan dan 2,000 korban akibat Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR