Australia catat peningkatan kes baharu Covid-19

Australia merekodkan 1,607 kes baharu Covid-19 ketika negara itu secara beransur-ansur beralih ke fasa endemik.

Wilayah Victoria yang mempunyai lebih 25 juta penduduk, mencatatkan 507 kes baharu ketika Perdana Menterinya memberi tempoh seminggu untuk mencegah penularan.

Hampir 70 peratus daripada penduduknya yang berusia 16 tahun dijangkakan menerima vaksin sepenuhnya dalam masa terdekat ini.

Perdana Menteri, Daniel Andrews berkata Australia berkemungkinan akan mencapai tahap vaksinasi sepenuhnya menjelang 26 Oktober ini.

Hampir 43 peratus penduduk Victoria sudah divaksin sepenuhnya yang merangkumi lebih dari 46 peratus penduduk di seluruh Australia.

Selain itu, kebanyakkan sekatan sosial tetap dilaksanakan seperti biasa, kedai dan perhotelan akan dibuka dengan kadar terhad, namun orang ramai dibenarkan keluar menjalankan aktiviti seperti kebiasaan.

Sementara itu, Andrews mensasarkan untuk melengkapkan 80 peratus vaksinasi ke atas penduduknya yang layak bagi memberikan persediaan kepada mereka untuk menonton Piala Melbourne pada 2 November ini.

Mengikut perancangan, langkah sekatan akan dibatalkan apabila kadar vaksinasi negara itu mencapai 70 peratus dan sempadan antarabangsa negara akan dibuka secara beransur-ansur apabila ia mencapai 80 peratus, malah wilayah New South Wales juga akan mengambil langkah sama.

Wilayah New South Wales yang mempunyai kepadatan penduduk teramai di Australia, mencatatkan 1,083 kes hari ini dan terpaksa dikenakan sekatan selepas penularan varian Delta pada pertengahan bulan Jun lalu.

Beberapa sekatan sudah dilonggarkan mulai hari ini selepas 52 peratus penduduknya sudah divaksin.

Sehingga kini, terdapat lebih 84,000 kes Covid-19 dikesan di Australia sejak Jun lalu dan sebanyak 1,162 kematian dilaporkan di Australia sejak Mac tahun lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR