Australia beli 300,000 pil Molnupiravir untuk rawatan Covid-19

Australia akan membeli lebih 300,000 kapsul ubat antivirus, Molnupiravir, keluaran Merck & Co kerana kes di semua wilayah negara itu sedang melonjak, terutama di Victoria yang mencatatkan rekod jangkitan harian tertinggi sejak Mac tahun lalu.

Menurut pakar, Molnupiravir digelar sebagai ‘ubat ajaib’ kerana ianya dikatakan mampu mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian akibat Covid-19.

Perdana Menteri, Scott Morrison berkata ubat itu adalah salah satu cara negara berkenaan untuk memberi rawatan dan membolehkan rakyat Australia hidup bersama virus.

“Australia akan membeli 300,000 ubat itu jika Pentadbiran Barang Terapi (TGA) Australia meluluskannya,” kata ketika negara itu merancang membuka semula sekatan antarabangsanya bulan depan kepada warganegara dan penduduk tetap yang lengkap divaksin.

Molnupiravir perlu diambil sebanyak 10 biji dengan pengambilan dua kali sehari selama lima hari berturut-turut oleh pesakit dewasa.

Ubat ini dijangka boleh digunakan di Australia bermula awal tahun depan sekiranya diluluskan dan Merck & Co turut merancang untuk mengeluarkan 10 juta ubat itu akhir tahun ini, kata Morrison.

Selain itu, Korea Selatan, Thailand, Taiwan dan Malaysia juga bercadang membeli ubat itu, manakala Filipina dalam proses menjalankan percubaan terhadap pil tersebut.

Sehingga kini, Australia masih meneruskan program vaksinasi di seluruh bandarnya seperti Sydney dan Melbourne serta Canberra.

Sehingga hari ini, lebih 80 peratus daripada populasi dewasa di negara itu sudah melengkapkan dos pertama suntikan vaksin.

Wilayah Victoria hari ini melaporkan 1,763 kes baharu Covid-19, melebihi rekod tertinggi harian pada Sabtu lalu sebanyak 1,488 kes ketika rancangan pembukaan semula wilayah itu dijangka akan dilaksanakan apabila kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 70 peratus dari sekarang 53 peratus, menjelang akhir Oktober ini.

Ketua Menteri baharu New South Wales, Dominic Perrottet memaklumkan bermula 11 Oktober ini, negeri itu akan menamatkan sekatan setelah hampir 70 peratus daripada penduduknya yang berumur 16 tahun ke atas sudah divaksin sepenuhnya.

Jangkitan harian di wilayah itu menurun ke tahap terendah dalam tempoh tujung minggu dan hari ini hanya terdapat 608 kes baharu Covid-19 dan majoritinya dikesan di Sydney serta tujuh kematian baharu dilaporkan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR