Askar rejim, pendatang Yahudi serang rakyat Palestin

Penunjuk perasaan Palestin yang menentang pengusiran di kawasan Sheikh Jarrah di wilayah diduduki di Baitulmaqdis Timur, diserang secara ganas oleh tentera rejim Israel dan pendatang Yahudi malam tadi.

Memetik laporan agensi berita Wafa, kejadian malam tadi adalah hari ketiga berturut-turut askar rejim memasuki kawasan itu ketika penunjuk perasaan sedang berbuka puasa selepas berhimpun sebagai tanda solidariti terhadap 40 warga Palestin yang berdepan risiko diusir dari rumah mereka untuk memberi laluan kepada pendatang haram Yahudi.

Menurut penduduk tempatan, askar rejim yang menunggang kuda menembak gas pemedih mata, bom pegun dan air ke arah mereka untuk menyuraikan tunjuk perasaan..

Askar rejim juga menutup kejiranan Sheikh Jarrah dalam usaha menghalang penduduk sekitar Baitulmaqdis daripada memasukinya selain menahan sekurang-kurangnya enam warga Palestin, termasuk Setiausaha Agung Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah), Shadi Mtour.

Keluarga Palestin yang berdepan pengusiran dari rumah mereka di kejiranan itu semalam menolak cadangan Mahkamah Agung Israel supaya penduduk berunding dengan pendatang Yahudi berhubung pemilikan rumah mereka.

Ahad lalu, mahkamah itu memberi masa kepada keluarga berkenaan sehingga Khamis untuk mencapai perjanjian dengan pendatang Yahudi, mewajibkan warga Palestin membayar sewa kepada pendatang Israel sehingga pemilik sekarang meninggal dunia dan kemudian harta itu akan diserahkan kepada pendatang, bukan kepada waris mereka.

Terdapat 38 keluarga rakyat Palestin yang tinggal di kejiranan Sheikh Jarrah, dengan empat daripadanya berdepan pengusiran, manakala tiga lagi dijangka diusir pada 1 Ogos.

Sementara itu, Menteri Luar Jerman, Britain, Perancis, Sepanyol, dan Itali menggesa Israel menghentikan pembinaan penempatan haram di wilayah Palestin yang dijajah.

“Kami mendesak pemerintah Israel untuk menarik balik keputusan untuk mendirikan 540 unit penempatan di wilayah Har Homa E di Tebing Barat yang diduduki, dan menghentikan peluasan penempatan di seluruh wilayah Palestin yang diduduki.

“Penyelesaian tidak sah berdasarkan undang-undang antarabangsa, dan mengancam prospek penyelesaian damai terhadap konflik Israel-Palestin,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

BERITA BERKAIT
POPULAR