Askar rejim Israel hadapi musibah jika masuk jalan darat ke Gaza

Jurucakap tentera rejim Zionis pada Jumaat menafikan laporan bahawa operasi darat telah dilancarkan ke atas Semenanjung Gaza.

Operasi darat di Semenanjung Gaza hanya akan menjadi musibah besar kepada rejim Zionis Israel, sekali gus akan mengubah keseimbangan perang, kata Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Timbalan Ketua Biro Politik Hamas, Saleh al-Aruri berkata, keupayaan pejuang Palestin mampu mengejutkan askar rejim Israel selain memiliki senjata yang lebih hebat daripada yang mereka gunakan dalam pertempuran sebelumnya.

Bercakap menerusi stesen televisyen milik Hamas, Al-Aqsa, beliau mengingatkan bahawa persiapan pejuang Hamas bagi menghadapi kemungkinan serangan darat rejim itu lebih hebat daripada roket dan peluru berpandu.

“Operasi darat akan menjadi bencana bagi rejim penjajah, dan mereka tidak akan dapat keluar sehingga keseimbangan perang berubah,” katanya mengulas rancangan rejim Israel untuk melakukan serangan darat ke atas Semenanjung Gaza.

Beliau menegaskan pasukan pejuang Palestin telah membuat persiapan untuk memastikan serangan dan operasi darat rejim Israel ditangkis.

Penempatan Yahudi dan Israel di Ramat Gan di Tel Aviv rosak teruk dibedil roket pejuang Palestin dari Semenanjung Gaza, hari ini.

Hamas memiliki ribuan pejuang yang menyertai sayap ketenteraannya – Briged Izzuddin Al-Qassam – yang terus memberi tentangan kepada pencerobohan rejim Zionis ke atas Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu.

Briged Al-Qassam juga bertanggungjawab melancarkan serangan roket ke arah penempatan haram Yahudi dan Israel di Tebiung Barat, termasuk lapangan terbang dan ibu negara, Tel Aviv.

Barisan hadapan di tanah yang diduduki secara haram di Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan garis hijau di mana warganegara Israel berketurunan Arab tinggal, adalah kunci kejayaan, kata Saleh al-Aruri.

Jurucakap tentera rejim Zionis pada Jumaat menafikan laporan bahawa operasi darat telah dilancarkan ke atas Semenanjung Gaza, dan menyatakan ia adalah salah faham terhadap laporan awal.

Sebelum ini, Briged Al-Qassam mengajak semua rakyat Palestin untuk menentang askar rejim Israel bagi menseimbangkan sambutan 73 pencerobohan rejim Israel di wilayah Palestin yang dikenali sebagai Peristiwa Nakba.

Kenyataan mengajak rakyat Palestin memberi ‘mimpi ngeri’ kepada Israel dan membuatkan mereka membayar harga mahal kerana menceroboh wilayah Palestin.

Sementara itu, Briged Al-Qassam terus melepaskan roket ke arah Israel menyebabkan kerosakan teruk di penempatan berhampiran Tel Aviv, sebagai membalas serangan ke atas kem pelarian Palestin di Shate yang menyebabkan 10 orang awam terbunuh, termasuk enam kanak-kanak.

Tentera rejim berkata seorang terbunuh manakala 20 lagi cedera. – Agensi

POPULAR
Ribuan sertai solidariti untuk empat sekeluarga Muslim dibunuhJune 13, 2021
Briged Al-Qassam hujani Israel dengan roketMay 11, 2021
Presiden Perancis kena penamparJune 8, 2021
Sembilan maut, 8 cedera bangunan lima tingkat roboh hempap basJune 10, 2021