
Peluru berpandu balistik antara benua Minuteman III dilancarkan ketika ujian operasi di Pangkalan Tentera Udara Vandenberg, California, pada 2 Ogos 2017. - Gambar fail Reuters
Tentera Amerika Syarikat (AS) hari ini (Selasa, 16 Ogos) memberitahu mereka berjaya melakukan ujian peluru berpandu balistik antara benua Minuteman III, setelah ditangguhkan untuk mengelak peningkatan ketegangan dengan Beijing tatkala China menunjukkan kekuatannya terhadap Taiwan sejak awal bulan ini.
China mengerahkan lebih banyak pesawat dan melepaskan peluru berpandu secara terus di Selat Taiwan selepas Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi membuat lawatan ke pulau yang diperintah sendiri.
China menganggap Taiwan sebahagian daripada wilayahnya dan tidak pernah mengambil tindakan kekerasan untuk meletakkan Taipei terus di bawah kekuasaannya.
Beijing telah melakukan latihan udara dan laut yang besar bulan ini di sekitar Taiwan dalam reaksi marah terhadap lawatan Pelosi dan delegasi kongres.
Latihan itu termasuk menembak pelbagai peluru berpandu balistik ke perairan Taiwan – antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia – dan ia adalah kali pertama China mengambil langkah sedemikian sejak pertengahan 1990-an.
Ujian terbaharu tentera AS menunjukkan kesediaan pasukan nuklear dan memberikan keyakinan terhadap keberkesanan sistem nuklear AS.
Satu kenyataan tentera AS berkata kira-kira 300 ujian sedemikian telah dibuat sebelum ini dan ia bukan hasil daripada sebarang peristiwa global tertentu.
Pada April, tentera AS membatalkan ujian peluru berpandu balistik antara benua Minuteman III. Kelewatan itu bertujuan untuk mengurangkan ketegangan nuklear dengan Russia ketika perang yang berterusan di Ukraine.
Minuteman III yang berkeupayaan nuklear, dibuat oleh Boeing, adalah kunci kepada senjata strategik tentera AS. Peluru berpandu itu mempunyai jarak lebih 9,660 kilometer dan boleh bergerak pada kelajuan kira-kira 24,000 kilometer sejam.
Presiden Russia Vladimir Putin pada Februari berkata pasukan nuklear negaranya harus diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa pencerobohan Russia ke atas Ukraine boleh membawa kepada perang nuklear.
Russia dan AS setakat ini mempunyai kepala peledak senjata nuklear terbesar selepas Perang Dingin. – Agensi