AS, Russia bekerjasama teroka Zuhrah

Ketua Agensi Angkasa Roscosmos, Dmitry Rogozin memaklumkan Amerika Syarikat (AS) dan Russia bakal bekerjasama mengadakan misi penerokaan ke Planet Zuhrah.

“Kami akan bersama-sama mengadakan misi ke Zuhrah dengan AS,” jelas Rogozin dalam satu program Soloviev Live YouTube semalam.

Russia merancang untuk menghantar Venera-D ke Zuhrah pada November 2029 di mana misi itu pada awalnya dirancang di bawah program usahasama Russia-AS.

Bagaimanapun, tahun lalu Roscosmos memberitahu misi tersebut akan menjadi projek bebas tanpa campur tangan antarabangsa.

Russia turut menyasarkan untuk menghantar misi penerokaan Zuhrah pada Jun 2031 dan satu lagi misi pada Jun 2034 bagi mengkaji atmosfera planet tersebut, di samping akan mengumpul beberapa sampel tanah.

Jun lalu, jurucakap NASA memaklumkan kepada agensi berita Sputnik, bahawa agensi angkasa AS itu akan membincangkan rancangan seterusnya bagi penerokaan planet berkenaan dengan Russia.

Menurut NASA, AS merancang dua misi ke Zuhrah dengan pelancaran dijangka dalam jangka masa 2028 hingga 2030.

Siasatan atmosfera Zuhrah dikenali sebagai ‘DAVINCI+’ akan memasuki atmosfera Zuhrah. Misi kedua yang digelar Venus Emissivity, Radio Science, InSAR, Topography and Spectroscopy (VERITAS) akan mengorbit planet dengan radar sintetik yang mampu menembusi awan yang menyembunyikan permukaan planet daripada ahli astronomi di Bumi.

Roscosmos dilaporkan memperuntukkan AS$4.3 bilion untuk membangunkan stesen angkasa lepas automatik bagi misi meneroka Zuhrah.

Mac lalu, saintis Institut Penyelidikan Angkasa Ludmila Zasova memberitahu Sputnik bahawa Russia telah mula mereka bentuk kapal angkasa Venera-D, yang akan ditugaskan untuk mengkaji permukaan Zuhrah. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR