
Sebuah klinik vaksinasi cacar monyet di Kanada, yang telah melaporkan kes virus tersebut. - Gambar Reuters
Pentadbiran Biden sedang menimbang sama ada untuk mengisytiharkan wabak cacar monyet di negara itu sebagai kecemasan kesihatan awam, lapor Washington Post pada Isnin (25 Julai).
Amerika Syarikat (AS) juga merancang untuk menamakan penyelaras White House untuk mengawasi tindak balas negara terhadap wabak itu, menurut laporan berkenaan.
Berita itu menyusul langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran peringkat tinggi, mengisytiharkan wabak jangkitan virus ringan sebagai kecemasan kesihatan global.
Setakat ini, hampir 70 negara di mana cacar monyet tidak endemik telah melaporkan wabak penyakit virus itu, dengan kes yang disahkan melangkaui 16,600.
Dua kes cacar monyet, yang menyebabkan simptom seperti selesema dan lesi kulit, dikenal pasti di AS dalam kalangan kanak-kanak buat kali pertama minggu lalu.
Pada 21 Julai lalu, Jawatankuasa Kecemasan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (2005) (IHR) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan jangkitan cacar monyet yang berlaku ketika ini adalah sebagai Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).
Keputusan ini dibuat berdasarkan peningkatan mendadak jumlah kes yang dilaporkan oleh negara-negara bukan endemik cacar monyet, selain memenuhi tiga kriteria PHEIC iaitu kesan kejadian kepada kesihatan awam, kejadian luar jangka serta risiko penularan rentas sempadan; dan bukti serta data saintifik berkaitan jangkitan ini.
Pada 17 Jun lalu, sebanyak 2,103 kes cacar monyet dilaporkan berlaku di 42 buah negara dengan satu kematian. Dalam tempoh kurang daripada dua bulan, bilangan kes telah meningkat kepada 16,836 kes dengan lima kematian dan melibatkan 74 buah negara pada 22 Julai lalu.
Kadar fataliti kes cacar monyet adalah 0.03 peratus. Kes pertama kali dilaporkan oleh WHO pada 15 Mei lalu dan berlaku di beberapa buah negara yang bukan endemik penyakit ini.
Berdasarkan laporan IHR yang diterbitkan WHO pada 23 Julai lalu, penularan virus cacar monyet ketika ini dilaporkan berlaku dalam kalangan gay, biseksual dan lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM) atau individu dengan risiko tinggi jangkitan seperti pekerja seks dan transgender.