
Pelawat asing tidak perlu lagi menjalani ujian Covid-19 sebelum memasuki Amerika Syarikat mulai 12 Jun 2022. - Gambar AFP
Pentadbiran Joe Biden menarik balik keperluan pengembara udara antarabangsa ke Amerika Syarikat (AS) menjalani ujian Covid-19 sehari sebelum menaiki penerbangan mereka, melonggarkan salah satu sekatan terakhir yang masih ada untuk membendung penyebaran coronavirus.
Seorang pegawai kanan pentadbiran berkata arahan itu tamat pada Ahad (12 Jun) dengan memetik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah menentukan bahawa ia tidak lagi diperlukan.
Pegawai itu berkata agensi itu akan menilai semula keperluan ujian setiap 90 hari dan ia boleh dilaksanakan semula jika varian baharu yang membimbangkan muncul.
AS sebelum ini membuka semula sempadan darat dan udaranya pada 8 November tahun lalu kepada pelawat asing yang menerima vaksin Covid-19 lengkap, selepas 20 bulan melakukan sekatan perjalanan dari seluruh dunia.
Bagaimanapun, pelawat asing terbabit perlu menjalani ujian Covid-19 dan membuktikan mereka negatif, tiga hari sebelum perjalanan.
Dua hari lalu, CDC berkata sub varian Omicron yang dikenali sebagai BA.4 dan BA.5 kini mewakili 13 peratus kes Covid-19 baharu di AS, meningkat daripada 7.5 peratus seminggu lalu dan satu peratus pada awal Mei.
Penyebaran sub varian menambah lebih banyak ketidakpastian kepada trajektori wabak di AS, di mana kiraan kes semasa berkemungkinan dianggap rendah.
Tetapi, saintis mengingatkan bahawa sama ada ia membawa kepada gelombang jangkitan baharu yang besar, atau lonjakan kemasukan ke hospital dan kematian, masih tidak jelas. – Agensi