AS lulus suntikan vaksin Pfizer kepada kanak-kanak 5-11 tahun

Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 Pfizer kepada budak berusia 5 hingga 11 tahun, sekali gus membolehkan kira-kira 28 juta kanak-kanak di negara itu memperoleh imunisasi.

Keputusan itu dibuat setelah panel perubatan peringkat tertinggi, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) yang menasihati kerajaan minggu ini, mengesahkan suntikan itu sambil menegaskan bahawa faedah yang diperoleh mengatasi risiko kesan sampingan.

Amerika Syarikat hanya mengikuti segelintir negara lain termasuk China, Chile, Cuba dan Emiriah Arab Bersatu yang menyuntik kanak-kanak yang lebih muda dengan pelbagai vaksin.

Malaysia telah memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) bagi kanak-kanak 5 hingga di bawah 12 tahun, dengan pemberian vaksin Pfizer – Comirnaty┬« 10mcg Concentrate for Dispersion, sejak 3 Februari lalu.

Sehingga semalam, sebanyak 22.7 peratus atau 805,676 kanak-kanak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dan dos kedua diberi lapan minggu kemudian.

“Sebagai seorang ibu dan doktor, saya tahu bahawa ibu bapa, penjaga, kakitangan sekolah dan kanak-kanak telah menunggu kebenaran ini,” kata pemangku Ketua FDA Janet Woodcock dalam satu kenyataan.

“Memberi vaksin kepada kanak-kanak yang lebih muda bagi berdepan Covid-19 akan membawa kita lebih dekat untuk kembali kepada hidup normal,” katanya.

Pemberian vaksin itu perlu bermula dengan meluas setelah panel Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengadakan perbincangan pada Selasa depan bagi membincangkan cadangan klinikal dengan lebih lanjut.

Pfizer dan rakan kongsinya BioNTech mengumumkan minggu ini kerajaan AS telah membeli 50 juta lagi dos kerana ia berfungsi untuk melindungi kanak-kanak, termasuk mereka yang berumur bawah lima tahun.

Dalam percubaan klinikal yang melibatkan lebih 2,000 peserta didapati lebih 90 peratus berkesan dalam mencegah penyakit bergejala.

Keselamatan vaksin juga telah dikaji terhadap lebih 3,000 kanak-kanak, dan tiada kesan sampingan yang serius telah dikesan dalam kajian yang sedang dijalankan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR