AS lulus pil Paxlovid tangani lonjakan kes Covid-19

Amerika Syarikat (AS) semalam meluluskan penggunaan pil antiviral Covid-19 keluaran Pfizer bagi golongan rentan dan yang berumur 12 tahun ke atas, tatkala jangkitan varian Omicron terus meningkat di seluruh dunia

Paxlovid, merangkumi dua jenis tablet, diberikan kelulusan penggunaan kecemasan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) selepas kajian klinikal menunjukkan ia mampu mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian dalam golongan individu berisiko sebanyak 90 peratus.

Pil itu hanya boleh diperoleh dengan preskripsi sahaja dan harus diambil secepat mungkin selepas diagnosis Covid-19 dan dalam tempoh lima hari dari permulaan simptom, kata FDA.

Pil itu perlu diambil setiap 12 jam selama lima hari.

“Tindakan ini adalah bukti di sebalik kebolehan sains dan hasil daripada inovasi serta kemampuan sebenar rakyat AS dalam memerangi virus ini,” jelas Presiden AS, Joe Biden dalam satu kenyataan, sambil menyemat janji untuk menguatkuasakan peruntukan undang-undang bagi mengeluarkan pil Pfizer secepat mungkin.

Sehingga kini, AS sudah membelanjakan AS$5.3 bilion (RM22.33 bilion) bagi proses perolehan 10 juta rawatan lengkap menggunakan pil Paxlovid, dengan pengeluaran pertama merangkumi 265,000 bakal diperolehi bermula Januari ini.

Penyelaras Rumah Putih, Jeff Zients memaklumkan kepada pemberita menerusi panggilan telefon, bakinya dijadual akan diperoleh menjelang akhir musim panas.

FDA menegaskan rawatan dengan pil berkenaan bakal menjadi pelengkap, daripada dianggap sebagai pengganti vaksin kerana vaksin masih kekal menjadi pemacu utama dalam memerangi Covid-19.

Minggu lalu, Badan kawal selia ubat Kesatuan Eropah (EU) sudah membenarkan beberapa negara anggota menggunakan pil keluaran Pfizer itu sebelum kelulusan rasmi diberikan, bagi membendung gelombang jangkitan Omicron.

Kebenaran penggunaan itu diberikan kerana lonjakan kes di AS, berpunca daripada Omicron, iaitu varian baharu yang dikesan paling mudah menjangkiti.

Kelmarin, AS melaporkan lebih 189,440 kes baharu dan 2,084 kematian akibat Covid-19, menjadikan angka kes di negara itu terus melonjak hampir 51.5 juta dengan lebih 810,000 korban sejak tahun lalu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR