
Amaran dikeluarkan CDC Amerika Syarikat meletakkan Malaysia pada Tahat 3.
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) negara itu mengemas kini amaran perjalanan terhadap puluhan negara di seluruh dunia susulan peningkatan dan penurunan kes Covid-19.
Secara keseluruhannya, Jabatan Negara AS mengubah nasihat perjalanan terhadap 114 negara selepas menerima nasihat daripada CDC, kata kenyataan jabatan itu hari ini.
Kebanyakan daripada negara terbabit, termasuk 58 yang diturunkan taraf ‘larangan perjalanan’ di Tahap 4 kepada Tahap 3 iaitu ‘pertimbangan untuk perjalanan’ – termasuk Malaysia.
Bagi negara lain, amaran perjalanan diturunkan, termasuk penganjur Sukan Olimpik, Jepun, selain Perancis dan Jerman.
Orang ramai yang merancang melawat Jepun perlu mempertimbangkannya disebabkan Covid-19, kata jabatan itu tatkala Jepun bersiap sedia untuk memulakan acara Olimpik hujung bulan depan.
Jabatan itu merujuk kepada amaran Tahap 3 sebagaimana dikenakan terhadap berpuluh-puluh negara lain.
Tiga negara dinaikkan ke Tahap 4 membabitkan Kepulauan British Virgin, Samoa dan Sudan.
Beberapa negara lain diturunkan ke Tahap 1 iaitu ‘langkah berjaga-jaga biasa’. Ini termasuk Antigua & Barbuda, Eswatini, French Polynesia, Gambia, Ghana, Malawi, Malta, Senegal, Singapura, Korea Selatan, dan Togo.
Bagi Malaysia yang diletakkan pada Tahap 3, Jabatan Negara AS dan CDC meminta rakyatnya memastikan mereka menerima vaksin sepenuhnya terlebih dahulu.
“Orang ramai yang tidak divaksin perlu mengelak daripada melakukan perjalanan ke Malaysia. Ini disebabkan penularan beberapa varian Covid-19.
“Pengembara juga perlu mematuhi peraturan dikehendaki Malaysia, termasuk memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan sosial enam kaki daripada orang lain,” kata kenyataan CDC.