AS jangka Russia serang Ukraine awal minggu depan

Amerika Syarikat (AS) percaya Russia boleh mengambil tindakan ketenteraan atau cuba mencetuskan konflik di dalam Ukraine seawal minggu depan, sebelum Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing berakhir, kata Penasihat Keselamatan Negara Jake Sullivan.

Konflik boleh bermula semasa Sukan Olimpik walaupun banyak spekulasi bahawa ia hanya boleh berlaku selepas sukan musim sejuk berakhir, kata Sullivan kepada media di White House pada Jumaat.

“Apa yang boleh kami katakan ialah terdapat prospek yang boleh dipercayai bahawa tindakan ketenteraan Russia akan berlaku sebelum tamat Sukan Olimpik.

“Namun, kami tidak percaya beliau telah membuat apa-apa keputusan muktamad, atau kami tidak tahu bahawa beliau telah membuat sebarang keputusan muktamad,” katanya, merujuk kepada Presiden Russia Vladimir Putin.

Ketika ketegangan semakin memuncak di sempadan Ukraine-Russia, Presiden Joe Biden dan Putin akan berbincang pada Sabtu, menurut pegawai AS dan Russia. Ia akan menjadi perbualan langsung pertama antara kedua-dua pemimpin sejak 30 Disember tahun lalu.

Serangan Russia ke atas Ukraine mungkin akan bermula dengan pengeboman udara dan serangan peluru berpandu yang akan menyebabkan korban awam yang meluas, kata Sullivan, sambil menggesa rakyat AS keluar dari negara itu secepat mungkin.

Russia berulang kali menolak tuduhan ia merancang untuk menyerang Ukraine, sambil menuduh negara-negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengancam keselamatannya dengan mempertimbangkan keahlian Ukraine dalam pakatan tentera itu.

Pada hari Khamis, puluhan ribu tentera Russia memulakan latihan dengan tentera Belarus hanya beberapa batu dari sempadan Ukraine.

AS berpendapat antara tindakan yang akan dilakukan Russia ialah mencetuskan provokasi di wilayah Donbas, di mana tentera Ukraine berjuang selama bertahun-tahun menentang puak pemisah yang disokong Moscow, atau menyerang ibu kota negara itu, Kyiv. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR