
Sekatan itu bertujuan menjejaskan ekonomi Russia dengan menyekat hubungan perbankan koresponden antara bank Russia yang disasarkan dan bank AS yang menyediakan pembayaran antarabangsa. - Gambar United States Treasury Department
Pentadbiran Presiden Joe Biden dilaporkan telah menyediakan pakej awal sekatan terhadap Kremlin, termasuk menghalang institusi kewangan Amerika Syarikat (AS) daripada memproses urus niaga bagi bank-bank utama Russia, kata tiga sumber kepada Reuters.
Langkah itu, yang hanya akan dilaksanakan jika Moscow menyerang Ukraine, bertujuan menjejaskan ekonomi Russia dengan menyekat hubungan perbankan koresponden antara bank Russia yang disasarkan dan bank AS yang menyediakan pembayaran antarabangsa.
Walaupun pihak berkuasa AS berkata langkah itu akan menjadi sebahagian daripada pakej sekatan yang mungkin dilakukan, rancangan pentadbiran untuk memutuskan hubungan perbankan koresponden – yang menyokong aliran wang global – belum dilaporkan sebelum ini.
AS juga akan menggunakan sekatan paling berkuasa terhadap individu dan syarikat Russia tertentu dengan meletakkan mereka dalam senarai Warganegara Yang Ditunjuk secara Khusus (SDN), sekali gus menolak mereka keluar daripada sistem perbankan AS, melarang perdagangan dengan rakyat Amerika dan membekukan aset mereka di AS mereka, kata sumber.
Whita House dan Jabatan Perbendaharaan AS enggan mengulas berhubung tindakan itu.
Sumber berkata pakej itu boleh berubah pada saat akhir dan tidak jelas siapa yang menjadi sasarannya.
Bagaimanapun, mereka percaya institusi kewangan terkemuka Russia, termasuk VTB Bank, Sberbank, VEB, dan Gazprombank, adalah sasaran yang mungkin berdepan tindakan itu.
Pakar yang dirujuk Reuters berkata walaupun perbankan koresponden tidak mempunyai penetapan SDN, yang membekukan aset bank, ianya masih boleh memberi tamparan kepada bank sasaran dengan menyukarkan transaksi dalam dolar AS, mata wang rizab global .
Kebanyakan perdagangan global diurus niaga dalam dolar AS.
Tidak jelas sama ada bank Russia akan ditambah ke dalam senarai SDN, tetapi kedua-dua jenis sekatan boleh menjejaskan Russia dengan teruk.
“Memandangkan sejumlah besar transaksi perdagangan global adalah dalam dolar AS, ini adalah sekatan yang menyengat, tetapi tanpa sekatan yang lebih rumit dan memusnahkan,” kata peguam Washington Kay Georgi, yang pakar dalam perdagangan antarabangsa.
Sumber menyatakan bahawa pentadbiran boleh mengecualikan transaksi tertentu daripada sekatan jika dianggap perlu.
Pentadbiran Biden mengancam sekatan perbankan yang keras terhadap Russia selama berminggu-minggu dalam usaha untuk menghalang Presiden Vladimir Putin daripada menyerang Ukraine.
Moscow telah menempatkan lebih 150,000 tentera di sempadan Ukraine, tetapi Putin menafikan rancangan untuk melancarkan serangan. – Reuters