AS, EU kenakan sekatan tambahan terhadap Presiden Russia

Presiden Russia Vladimir Putin menjadi sasaran terbaharu sekatan antarabangsa susulan pencerobohan ke atas Ukraine, dengan Amerika Syarikat (AS), Kanada dan sekutu Eropah semuanya mengumumkan mereka menambah tindakan langsung terhadap beliau dan menteri luarnya.

Dengan tentera Russia berada di pinggir ibu negara Ukraine pada awal Sabtu, diplomatik menggesa sekatan lebih teruk dari segi kewangan dikenakan ke atas Russia.

Ditanya sama ada Presiden AS Joe Biden merancang sebarang tawaran diplomatik langsung ke arah Putin, Setiausaha Akhbar White House Jen Psaki memberitahu bahawa dia tidak melakukannya, tetapi “ia tidak bermakna kita telah menolak diplomasi selama-lamanya.”

Psaki berkata AS sedang menyediakan sekatan individu ke atas Putin dan Menteri Luar Sergey Lavrov, mungkin termasuk larangan perjalanan.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Kesatuan Eropah mengumumkan akan membekukan aset Putin, dan Perdana Menteri Britain Boris Johnson memberitahu pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bahawa negaranya akan menyekat Putin dan Lavrov.

Psaki berkata AS juga mengenakan sekatan ke atas Dana Pelaburan Langsung Russia, yang berfungsi sebagai dana kekayaan negara bertujuan menarik modal ke dalam ekonomi Russia. Sekutu AS dan Eropah sebelum ini mengumumkan pembekuan aset dan penalti lain terhadap bank Russia, perusahaan milik negara dan golongan elit.

Langkah AS menyekat Putin dan Lavrov, daripada mengakses kepada mana-mana aset yang boleh dicapai oleh pegawai AS dan menghalang sesiapa sahaja di AS daripada menjalankan perniagaan dengan mereka. Anggota majlis keselamatan Russia juga telah dikenakan sekatan.

Sekatan yang akan dikenakan tidak akan melarang hubungan antara, contohnya, Putin dan Biden, atau Setiausaha Negara A.S. Antony Blinken dan Lavrov.

Tidak jelas apakah kesan praktikal terhadap Putin dan Lavrov dan betapa pentingnya aset mereka di Eropah.

Menteri EU berkata sekatan lanjut mungkin diambil, termasuk mengeluarkan Russia daripada SWIFT, sistem dominan untuk urus niaga kewangan global.

Secara berasingan, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berkata Kanada menyokong penyingkiran Russia daripada sistem perbankan SWIFT. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR