AS, Britain sedia sekat akses syarikat Russia ke atas dolar, pound

Amerika Syarikat (AS) dan Britain akan berusaha untuk mengurangkan akses syarikat Russia terhadap dolar dan pound British jika Kremlin mengarahkan pencerobohan ke atas Ukraine, Perdana Menteri Britain Boris Johnson memberitahu BBC hari ini.

“Pelan yang kita lihat adalah untuk sesuatu yang boleh menjadi perang terbesar di Eropah sejak 1945 hanya dari segi skala semata-mata,” kata Johnson.

Johnson berkata sekatan ke atas Rusia sekiranya berlaku pencerobohan akan pergi lebih jauh daripada yang dicadangkan sebelum ini.

Menurutnya United Kingdom (UK) dan AS akan menghentikan syarikat Russia daripada berdagang dalam mata wang pound dan dolar – satu langkah yang menurutnya akan memberi kesan besar dan keras, lapor BBC.

Britain, yang menjadi pusat perdagangan pertukaran asing global, mengancam untuk menghalang syarikat Russia daripada mendapatkan modal di London dan mendedahkan pemilikan harta dan syarikat jika Russia menyerang Ukraine.

Russia menafikan merancang menyerang Ukraine, tatkala Presiden Vladimir Putin berkata Barat sedang menyemai histeria dalam percubaan memancing Russia ke dalam peperangan selepas mengabaikan kebimbangan Kremlin tentang pembesaran anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas Perang Dingin.

Rusia dilaporkan menempatkan lebih 150,000 tentera di sempadan Ukraine dan AS, Britain, Kesatuan Eropah dan NATO bimbang Putin mungkin merancang melakukan serangan dalam usaha memulihkan beberapa wilayah dan pengaruh yang hilang apabila Kesatuan Soviet runtuh pada 1991.

Memandangkan kedudukan Rusia sebagai salah satu pengeksport utama minyak, gas dan logam dunia – yang sebahagian besarnya berharga dan diselesaikan dalam dolar AS – menyekat syarikat Russia daripada akses kepada pasaran dolar boleh memberi kesan besar.

Sebelum ini, Putin berulang kali menggesa untuk mengurangkan pergantungan pada perdagangan dalam dolar AS.

Syarikat minyak terbesar Ruasia, Rosneft menukar sepenuhnya mata wang kontraknya kepada euro daripada dolar AS untuk melindungi transaksinya daripada sekatan AS, kata Ketua Pegawai Eksekutif Igor Sechin pada 2019.

Johnson berkata Britain akan menyasarkan bank Russia dan syarikat Russia. Britain tidak menyatakan siapa yang akan dikenakan sekatan, tetapi berjanji bahawa tidak akan ada tempat untuk indivudu kaya dan berpengaruh Russia bersembunyi.

Beratus-ratus bilion dolar telah mengalir ke London dan wilayah luar negara Britain dari Russia sejak kejatuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991, dan London telah menjadi bandar pilihan utama di Barat.

Sebelum ini, perkhidmatan perisikan Barat percaya Putin mungkin mengarahkan serangan tidak konvensional ke atas Ukraine yang mungkin memerlukan Barat membuat keputusan mengenai sekatan terhadap Russia, kata seorang pegawai kanan Barat.

“Apabila kami menilai bahawa Ruasia telah melampaui batas dalam hal ini… maka kami perlu bertindak cepat dari segi tindak balas sekatan kami,” katanya. – BBC/Reuters

BERITA BERKAIT
POPULAR