AS beri amaran sekat projek paip gas jika Russia serang Ukraine

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengancam menghentikan projek saluran paip gas asli Nord Stream 2 yang dibina Russia ke Jerman jika Moscow menyerang Ukraine, sambil Chancelor Olaf Scholz, turut memberi sokongan.

Pada penampilan bersama selepas pertemuan di White House pada Isnin, Biden berkata beliau yakin saluran paip itu akan ditangguhkan sekiranya berlaku serangan Russia ke atas Ukraine.

“Jika Russia menyerang, itu bermakna kereta kebal dan tentera melintasi sempadan Ukraine… sekali lagi. Maka tidak akan ada lagi Nord Stream 2. Kami akan menamatkannya.

“Saya berjanji kepada anda, kami akan dapat melakukannya,” kata Biden.

Scholz pula berkata Jerman dan AS sependapat berhubung potensi pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.

“Kami bertindak bersama. Kami benar-benar bersatu, dan kami tidak akan mengambil apa-apa langkah. Kami akan melakukan langkah yang sama, dan ia akan menjadi sangat sukar untuk Rsusia, dan mereka harus faham,” kata Scholz.

Nasib Nord Stream 2 dipantau secara teliti ketika AS dan sekutunya menyusun senarai hukuman dan langkah sekatan ekonomi lain yang akan dikenakan sekiranya Russia menyerang Ukraine.

Pertemuan antara Biden dan Scholz adalah sebahagian daripada pusingan diplomasi untuk cuba meredakan krisis ke atas Ukraine, setelah Kremlin menempatkan lebih 100,000 anggota tentera dan kelengkapan perang di sempadannya.

Saluran paip Nord Stream 2 sepanjang 765 batu adalah projek besar Kremlin dan akan meningkatkan bekalan gas asli Russia ke Jerman. Walaupun telah siap, saluran paip itu belum beroperasi lagi, dengan pegawai Jerman berkata ia sedang menjalani ujian pensijilan.

AS sebelum ini menentang projek itu, dengan pegawai memberi amaran bahawa ia akan meningkatkan pengaruh Moscow ke atas Jerman dan Eropah. Pentadbiran Biden, bagaimanapun, mengetepikan sekatan ke atas syarikat induk bagi saluran paip yang hampir siap tahun lalu kerana menghormati sekutu utama Jerman.

Sepanjang bulan lalu, apabila Putin berterusan menambah jumlah tenteranya di sempadan Ukraine, pegawai pentadbiran AS berkata mereka akan menyekat projek saluran paip jika Russia melakukan serangan.

“Kami telah membuat pendirian kami dengan sangat jelas, iaitu jika Russia menyerang Ukraine dalam satu atau lain cara, Nord Stream 2 tidak akan bergerak ke hadapan,” kata seorang pegawai kanan pentadbiran AS.

BERITA BERKAIT
POPULAR