
Kakitangan hospital di California yang diuji positif tetapi tidak menunjukkan gejala boleh meneruskan tugas mereka. - Gambar ANA
Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) mengambil pendekatan luar biasa dengan membenarkan jururawat dan pekerja kesihatan lain yang dijangkiti Covid-19, tetapi mempunyai simptom ringan atau tidak bergejala, untuk terus bertugas.
Langkah itu diambil susulan kekurangan kakitangan hospital yang semakin teruk, sementara beban kes terus meningkat didorong oleh penularan pantas varian Covd-19, Omicron.
Pihak berkuasa kesihatan California mengumumkan bahawa mana-mana kakitangan hospital yang diuji positif tetapi tidak menunjukkan gejala boleh meneruskan tugas mereka.
Jabatan Kesihatan California berkata dasar baharu itu dibuat setelah kekurangan kakitangan menjadi kritikal, serta mengarahkan hospital mengambil apa sahaja langkah membawa masuk pekerja dari luar agensi.
Arahan juga dikeluarkan kepada kakitangan yang dijangkiti itu supaya memakai pelitup muka N95 tambahan dan diarah hanya merawat pesakit yang positif Covid-19.
“Kami tidak meminta peraturan ini, dan kami tidak mempunyai sebarang maklumat sama ada hospital akan menggunakan pendekatan ini atau tidak,” kata Jan Emerson-Shea, jurucakap Persatuan Hospital California.
“Tetapi apa yang kami tahu ialah hospital menjangkakan lebih ramai pesakit pada hari-hari akan datang berbanding tahap rawatan yang boleh diberikan dengan kakitangan sedia ada”.
Pertubuhan Jururawat California pula menentang langkah itu sambil memberi amaran jumlah jangkitan akan meningkat.
Gabenor Gavin Newsom dan pegawai kesihatan negeri yang lain “mengutamakan keperluan syarikat penjagaan kesihatan berbanding keselamatan pesakit dan pekerja. Kami mahu menjaga pesakit dan melihat mereka menjadi lebih baik, bukannya menjangkiti mereka,” kata Presiden persatuan itu, Cathy Kennedy.
Sesetengah hospital di Rhode Island dan Arizona pula memberitahu kakitangan mereka boleh meneruskan tugas walaupun mempunyai gejala ringan.
Varian Omicron yang sangat menular menyebabkan jangkitan baharu Covid-19 di AS meledak kepada lebih 700,000 kes sehari secara purata, melenyapkan rekod yang dicatat tahun lalu.
Tidak semua hospital mengalami kebanjiran pesakit Covid-19, sebaliknya mereka berdepan masalah kekurangan kakitangan yang dijangkiti Covid-19 dan menjalani kuarantin kendiri.
Bulan lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) berkata pekerja kesihatan yang tidak mempunyai gejala boleh kembali bekerja selepas tujuh hari dengan ujian negatif, tetapi tempoh kuarantin boleh dikurangkan lagi jika terdapat kekurangan kakitangan.
Minggu lalu Perancis membenarkan pekerja kesihatan yang dijangkiti Covid-19 dan mempunyai simptom ringan atau tidak bergejala, untuk terus merawat pesakit daripada menjalani kuarantin.
Di Phoenix, Dignity Health, pengendali utama hospital, mengeluarkan memorandum kepada kakitangan yang mengatakan mereka yang dijangkiti virus dan berasa cukup sihat untuk bekerja boleh meminta kebenaran daripada pengurus mereka untuk kembali merawat pesakit.
Hospital Dignity Health di California belum lagi melaksanakan garis panduan baharu itu tetapi berkata ia mungkin perlu berbuat demikian dalam beberapa hari dan minggu akan datang.
“Kami melakukan segala yang mampu untuk memastikan kakitangan kami dapat kembali bekerja dengan selamat sambil melindungi pesakit dan kakitangan daripada penularan Covid-19,” kata Dignity Health dalam satu kenyataan. – Agensi