AS belum cadang tawarkan dos keempat vaksin Covid-19

Walaupun data persekutuan baharu mencadangkan bahawa keberkesanan suntikan penggalak berkurangan selepas kira-kira empat bulan, Amerika Syarikat belum bercadang melaksanakan suntikan dos keempat.

Ketua Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) Dr Peter Marks berkata pihaknya tidak mempunyai data mencukupi untuk membolehkan dos keempat diberikan.

Terdahulu Ketua Penasihat Perubatan White House, Dr Anthony Fauci berkata vaksin masih menjadi benteng yang kukuh terhadap penyakit yang teruk, walaupun data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menunjukkan bahawa suntikan penggalak kehilangan sebahagian daripada keberkesanannya selepas empat hingga lima bulan.

Penyelidikan CDC, yang dikeluarkan Jumaat lalu menganalisis kemasukan ke hospital dan wad kecemasan serta klinik penjagaan segera di 10 negeri di AS oleh individu orang yang telah mendapat suntikan penggalak sama ada vaksin Moderna atau Pfizer.

Kajian itu menunjukkan tahap perlindungan terhadap kemasukan ke hospital jatuh daripada 91 peratus dalam tempoh dua bulan selepas suntikan ketiga kepada 78 peratus selepas empat hingga lima bulan.

Keberkesanan terhadap kemasukan ke wad kecemasan atau klinik penjagaan segera merosot daripada 87 peratus kepada 66 peratus.

Data itu menyusul peringatan yang menggariskan kemungkinan kepentingan suntikan keempat.

“Adakah saya perlu mendapatkan suntikan keempat? Itulah yang ramai orang tanya saya,” kata Dr Fauci. “Jawapannya ialah jika anda melihat di mana kita berada sekarang, ia kelihatan seperti perlindungan yang baik. Tujuh puluh lapan peratus adalah baik.”

Apa yang seterusnya, akan bergantung ke pada sama ada perlindungan daripada penggalak kekal stabil atau terus menurun selepas empat hingga lima bulan – dan jika ia terus menurun, kita perlu tahu berapa kadar penurunannya, kata Dr Fauzi lagi.

Ini bermakna lebih banyak ketidakpastian dalam kalangan rakyat AS yang semakin letih dengan pelbagai perubahan dalam program vaksinasi di negara itu.

Data daripada Britain juga serupa dengan CDC yang menunjukkan keberkesanan dos penggalak antara 75 peratus hingga 85 peratus berkesan terhadap kemasukan ke hospital, empat hingga enam bulan selepas diberikan.

Israel juga telah mencatatkan penurunan keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech dalam beberapa bulan selepas suntikan penggalak, sebelum menawarkan dos keempat pada akhir Disember lalu, kata CDC.

CDC mengesyorkan individu yang mempunyai kekurangan imun mendapatkan tiga suntikan sebagai sebahagian daripada rangkaian awal suntikan vaksin Covid-19, diikuti dengan yang keempat sebagai penggalak. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR