
Amerika Syarikat hanya akan menempatkan sekelompok kecil pegawai diplomatik di bandar Lviv di barat Ukraine, kira-kira 50 batu dari sempadan Poland untuk mengendalikan kes-kes kecemasan. - Gambar CNN
Amerika Syarikat (AS) mengarahkan kebanyakan kakitangan kedutaannya di Ukraine berpindah, setelah amaran supaya rakyatnya keluar dari negara itu dibuat lebih awal hari ini.
Arahan itu dikeluarkan Jabatan Negara AS susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan Russia akan menceroboh Ukraine pada bila-bila masa.
“Kebanyakan pekerja tetap AS dari Kedutaan Kyiv diarah keluar kerana ancaman berterusan dan tindakan ketenteraan oleh Russia,” kata Jabatan Negara.
Ia juga menyatakan bahawa perkhidmatan konsulat akan digantung, tetapi menegaskan kehadiran kelompok kecil pegawai diplomatik akan dikekalkan di bandar Lviv di barat Ukraine, kira-kira 50 batu dari sempadan Poland untuk mengendalikan kes-kes kecemasan.
Pengumuman itu dibuat sebelum Presiden AS Joe Biden dan Presiden Rusia Vladimir Putin berbincang, ketika pegawai AS meningkatkan amaran mereka bahawa Moscow mungkin akan menceroboh Ukraine.
Terdahulu, Penasihat Keselamatan Negara AS Jake Sullivan berkata tindakan ketenteraan Russia boleh bermula dengan serangan peluru berpandu dan udara, diikuti dengan serangan darat.
“Sekiranya serangan Russia ke atas Ukraine diteruskan, ia mungkin bermula dengan pengeboman udara dan serangan peluru berpandu yang jelas boleh membunuh orang awam tanpa mengira kewarganegaraan mereka,” katanya.
Russia dilaporkan menempatkan lebih 100,000 tentera di sempadan Ukraine tetapi menafikan merancang untuk menyerang negara yang memohon menganggotai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Pegawai AS berkata Moscow boleh menyerang sebelum tamatnya Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing pada 20 Februari dan mungkin berusaha untuk merampas ibu kota Kiev dan bandar-bandar lain. – Agensi