Arab Saudi wajibkan semula pelitup muka, protokol penjarakan fizikal

Arab Saudi mewajibkan semula protokol Covid-19 dengan mengarahkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal mulai jam 7 pagi 30 Disember, lapor Agensi Berita Arab Saudi, SPA.

Memetik sumber rasmi kerajaan di Kementerian Dalam Negeri, SPA melaporkan keputusan itu dibuat oleh pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi susulan lonjakan jumlah kes Covid-19 dan penularan varian baharu Omicron.

Sumber itu mengatakan bahawa semua prosedur dan langkah keselamatan tertakluk kepada penilaian berterusan berdasarkan situasi tempatan dan global.

“Orang ramai yang tinggal di Arab Saudi digesa mematuhi protokol baharu bagi mengelak daripada berdepan hukuman undang-undang kerana gagal mematuhi langkah berjaga-jaga,” lapor SPA.

Sehingga semalam, Arab Saudi melaporkan 602 kes jangkitan baharu dengan 147 kes sembuh serta satu kematian.

Oktober lalu, Arab Saudi mengumumkan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 melibatkan individu yang lengkap divaksin dengan tidak perlu memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan sama ada penjarakan fizikal kembali dilaksanakan ketika umat Islam melakukan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, setelah prosedur itu dimansuhkan pada Oktober lalu.

Sebelum ini, Arab Saudi mengenakan penjarakan fizikal untuk solat dan tawaf, namun ditarik balik pada Oktober lalu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR