Arab Saudi tolak sekatan lebih ketat cegah penularan Omicron

Arab Saudi tidak akan melaksanakan semula ‘total lockdown’ atau memperketatkan lagi kawalan serta protokol kesihatan, tatkala varian Omicron makin menular di negara itu, kata jurucakap rasmi Kementerian Kesihatan Dr Muhammad Al-Abdel Ali.

Ketika wawancara dengan stesen televisan Rotana Khalijiya menerusi program YaHalaShow, beliau berkata, wabak Covid-19 di Arab Saudi sekarang ini tidak sama seperti awal permulaan pada 2020 lalu.

“Kerajaan Arab Saudi telah mengambil langkah besar menghadapi ancaman Covid-19, sementara rakyat kami juga mempunyai tahap kesedaran cukup tinggi untuk mengelak dijangkiti.

“Walaupun setiap hari ada kes yang dilaporkan, namun tahap imuniti dalam kalangan penduduk juga tinggi susulan kempen vaksinasi yang dijalankan,” katanya.

Katanya, Covid-19 telah melalui banyak peringkat di seluruh dunia, dan Arab Saudi adalah sebahagian daripada dunia ini.

Telah terbukti bahawa Omicron adalah varian paling cepat merebak dalam sejarah, kata Dr Abdel Ali sambil mengaitkan situasi itu dengan peningkatan jangkitan mendadak di Arab Saudi, dengan kebanyakannya melibatkan kalangan yang tidak mengambil vaksin.

Beliau yakin peningkatan kes Omicron akan berkurangan tidak lama lagi, terutamanya selepas langkah berjaga-jaga kesihatan diambil, termasuk pemberian dos penggalak.

Sehingga kini, lebih 95 peratus rakyat Arab Saudi dengan kumpulan sasar umur ditetapkan sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, hasil kajian turut membuktikan suntikan dos penggalak mampu melindungi seseorang individu daripada dijangkiti virus Omicron serta turut dapat mencegah penyebaran virus itu.

“Kajian turut menunjukkan gejala jangkitan Covid-19 yang dialami oleh individu lengkap divaksin adalah sangat ringan,” katanya. – SaudiGazette

BERITA BERKAIT
POPULAR