
Gambaran projek NEOM di wilayah Tabuk, Arab Saudi bagi mewujudkan sebuah komuniti futuristik dan mampan.
Arab Saudi merancang untuk membina bangunan terbesar di dunia dalam projek megacitynya NEOM, sumber memberitahu Bloomberg.
Sumber juga memberitahu bahawa terdapat rancangan untuk pembinaan dua bangunan pencakar langit sekitar 500 meter tinggi yang memanjang secara mendatar sejauh berpuluh-puluh batu.
Bangunan pencakar langit akan terbentang dari pantai Laut Merah ke pedalaman ke arah padang pasir dan akan menempatkan gabungan ruang kediaman, runcit dan pejabat.
Ia akan menjadi lebih besar daripada bangunan terbesar dunia semasa, yang kebanyakannya adalah kilang atau pusat beli-belah. Struktur buatan manusia tertinggi di dunia sekarang ini ialah Burj Khalifa setinggi 828 meter (2,717 kaki) di Dubai.
Pereka bentuk telah diminta untuk menyediakan prototaip sepanjang setengah batu, lapor Bloomberg.
Projek NEOM diumumkan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman pada 2017 sebagai sebahagian daripada usaha Arab Saudi untuk mempelbagaikan ekonomi yang selama ini bergantung kepada minyak.
Projek pembinaan kota raya baharu itu dilaporkan meliputi 10,000 batu persegi di wilayah Tabuk, berhampiran sempadan Arab Saudi dengan Jordan dan Mesir. NEOM dinamakan daripada gabungan perkataan Yunani iaitu “baharu” dan istilah Arab, “masa depan”.
Mohammed bin Salman berhasrat mewujudkan NEOM untuk menjadi komuniti futuristik, mampan yang digabungkan bersama oleh The Line – komuniti bebas kereta sepanjang 170 kilometer yang dihubungkan dengan pengangkutan awam.
“The Line adalah idea di luar kotak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif NEOM Nadhmi al-Nasr kepada Bloomberg, tanpa mengulas secara spesifik.
“Apa yang akan kami sampaikan apabila kami bersedia akan diterima dengan baik, dan akan dilihat sebagai penggerak revolusi.”
Arab Saudi juga telah memulakan pembinaan Menara Jeddah pada 2013 – lebih tinggi daripada bangunan tertinggi semasa di dunia, Burj Khalifa Dubai.
Kerajaan Arab Saudi juga kini menempatkan bangunan keempat tertinggi di dunia – menara jam Abraj al-Bait di Makkah, setinggi 601 meter. – Agensi