
Arab Saudi mengenakan larangan bekerja di bawah matahari mulai jam 12 tengah hari hingga 3 petang untuk tempoh tiga bulan berkuat kuasa 15 Jun lalu.
Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi memberi amaran bahawa beberapa wilayah di negara itu akan menyaksikan gelombang panas bermula dari Ahad dan akan berterusan sehingga Rabu depan.
NCM menjangkakan bahawa gelombang haba akan mencecah 50 darjah Celsius di beberapa wilayah.
Agensi itu juga menjangkakan bahawa suhu maksimum di kebanyakan wilayah timur (Al-Sharqiya) dan bahagian antara Madinah dan Yanbu masing-masing akan mencapai 47 dan 50 darjah Celsius.
Bagi bahagian timur wilayah Riyadh, Al-Qassim dan sempadan utara, dijangka akan menyaksikan suhu antara 45 dan 47 darjah Celsius.
NCM menyeru semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga, dan juga meminta mereka untuk mematuhi arahan pihak berkuasa yang berwibawa bagi menjamin keselamatan.
Kementerian Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial (MHRSD) mula mengenakan larangan bekerja di bawah matahari mulai 12 tengah hari hingga 3 petang untuk tempoh tiga bulan berkuat kuasa Rabu, 15 Jun lalu.
Larangan itu, yang akan meliputi semua syarikat dan sektor swasta, akan berterusan sehingga 15 September 2022.
Jurucakap kementerian itu, Saad Al-Hammad berkata penalti berjumlah SR3,000 bagi setiap pekerja akan dikenakan ke atas majikan sekiranya melanggar peraturan berkenaan.
Jumlah denda itu akan berlipat kali ganda dengan jumlah pekerja yang terlibat dalam pelanggaran larangan kerja tengah hari, katanya.
Penalti itu juga termasuk menutup syarikat terbabit untuk tempoh tidak melebihi 30 hari, atau menutupnya secara kekal. – Agensi