
Kira-kira 2.5 juta jemaah mengerjakan ibadah haji pada 2019, namun pada tahun berikutnya bilangan jemaah dihadkan kepada 10,000 individu, susulan penularan Covid-19. - Gambar AFP
Jemaah dari negara luar akan mendapat sebahagian besar daripada kuota mengerjakan haji bagi musim 1443H/2022, lapor saluran televisyen Al-Arabiya yang memetik sumber Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Menurut sumber itu 85 peratus daripada sejuta jemaah yang dibenar mengerjakan haji tahun ini terdiri daripada umat Islam global, manakala selebihnya adalah rakyat Arab Saudi.
Ini bermakna kuota bagi jemaah haji domestik tidak melebihi 150,000 orang, manakala 850,000 jemaah lagi adalah dari negara di seluruh dunia, kata sumber itu.
Keputusan itu bertujuan memberi peluang kepada sebilangan besar umat Islam dari seluruh dunia untuk menunaikan haji selepas mengambil kira hakikat bahawa mereka tidak dibenarkan berbuat demikian dalam tempoh dua tahun lalu susulan penularan wabak Covid-19.
Hanya sebilangan kecil jemaah domestik dibenarkan menunaikan haji dalam tempoh dua tahun lepas.
Baru-baru ini, Arab Saudi memutuskan untuk meningkatkan jumlah jemaah haji dari dalam dan luar negara tahun ini kepada satu juta jemaah.
Serentak itu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi juga mengumumkan ibadah haji bagi tahun 1443H/2022 hanya dibenarkan kepada individu berumur 65 tahun dan ke bawah sahaja.
Jumlah jemaah yang datang dari negara tertentu untuk haji tahun ini akan mengikut kuota yang diperuntukkan kepada setiap negara dan dengan mengambil kira pematuhan semua protokol kesihatan.
Kementerian telah menjelaskan bahawa ibadah haji tahun ini akan dijalankan mengikut peraturan berikut:
Haji tahun ini terbuka kepada mereka yang berumur di bawah 65 tahun dan telah menerima vaksin Covid-19 yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Saudi; dan
Jemaah haji yang datang dari luar dikehendaki mengemukakan keputusan ujian PCR Covid-19 negatif yang dilakukan dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.
Kementerian telah mengarahkan agar semua jemaah perlu mematuhi arahan kesihatan dan langkah berjaga-jaga bagi memelihara kesihatan dan keselamatan mereka ketika menunaikan ibadah haji. – SPA