Arab Saudi izin umat Islam Indonesia tunai umrah

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi memaklumkan jemaah Indonesia telah diberi kebenaran oleh kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan ibadah umrah.

Namun, kerajaan Arab Saudi menetapkan beberapa syarat bagi jemaah yang tidak menepati kriteria penilaian kesihatan semasa tiba ke negara itu.

Semalam, Retno menjelaskan kebenaran itu sudah termaktub dalam nota diplomatik di Kedutaan Arab Saudi di Jakarta.

“Nota itu menyatakan tempoh kuarantin bagi jemaah umrah yang tidak memenuhi kriteria penilaian kesihatan, iaitu selama lima hari setelah tiba di Arab Saudi,” jelasnya dalam sidang akhbar.

Dalam memorandum itu, turut menjelaskan bahawa jawatankuasa khas Arab Saudi sedang berusaha untuk mengurangkan halangan kepada jemaah Indonesia menunaikan ibadah itu.

Arab Saudi dan Indonesia berada dalam fasa terakhir pertukaran teknikal yang akan dikendalikan bagi menguruskan maklumat berkaitan vaksinasi Covid-19 jemaah yang bakal mengunjungi tanah suci.

Menurut Retno, berita baik ini akan disusuli dengan maklumat lebih lanjut mengenai perlaksanaan teknikal tersebut.

“Kementerian Luar Negeri akan melakukan penyelarasan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa Arab Saudi berhubung perlaksanaan peraturan baharu itu,” jelasnya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR