Arab Saudi guna teknologi moden perkemas ibadah haji 2022

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi akan menggerakkan sepenuhnya program bercirikan teknologi moden dalam usaha memudahkan lagi ibadah haji tahun ini.

Jurucakapnya Hisham Saed mengesahkan kementerian itu akan menggunakan teknologi moden secara besar-besaran untuk program haji 2022.

“Sambungan teknikal penuh akan digunakan semasa haji tahun ini, dalam integrasi dengan pihak lain di Tanah Suci, sistem keselamatan dan sistem pengurusan jemaah,” katanya dalam temu bual dengan stesen Al-Ekhbariya.

Katanya matlamat utama adalah memudahkan pelaksanaan ibadah haji bagi jemaah di seluruh dunia dan menjaga kesihatan mereka di samping meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan.

Menurutnya adalah penting untuk mengetahui bahawa pemerintah bersetuju menambah jumlah jemaah haji tahun ini kepada sejuta orang sama ada dari dalam atau luar Arab Saudi.

Kementerian Haji dan Umrah menjelaskan bahawa ibadah haji tahun ini akan dijalankan mengikut peraturan berikut:

Haji tahun ini terbuka kepada mereka yang berumur di bawah 65 tahun dan telah menerima vaksin Covid-19 yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Saudi; dan

Jemaah haji yang datang dari luar dikehendaki mengemukakan keputusan ujian PCR Covid-19 negatif yang dilakukan dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.

Kementerian juga telah mengarahkan agar semua jemaah haji perlu mematuhi arahan kesihatan dan langkah berjaga-jaga bagi memelihara kesihatan dan keselamatan mereka ketika menunaikan ibadah haji. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR