Arab Saudi catat jangkitan harian tertinggi, 5499 kes baharu

Arab Saudi merekodkan jumlah jangkitan harian tertinggi Covid-19 pada Khamis, dengan 5,499 kes baharu dan dua kematian akibat komplikasi virus berkenaan, lapor Kementerian Kesihatan (MOH).

Jumlah kes harian tertinggi sebelum ini sebanyak 5,362 kes dicatat pada 12 Januari 2022.

Daripada jumlah jangkitan baharu itu, sebanyak 1,565 direkodkan di ibu negara Riyadh, diikuti 877 di Jeddah; Makkah (474); Madinah (239); Dammam (198); Taif (137); Qatif (110); Al-Khobar (103); Hofuf (102); dan Khulais (100). Beberapa bandar lain mencatat jumlah di bawah 100 kes.

Bilangan kes meningkat pantas dalam beberapa minggu kebelakangan ini susulan penularan meluas Omicron – varian yang paling cepat menjangkiti.

Arab Saudi merekodkan kes pertama varian Omicron pada awal Disember, dipercayai berasal dari negara Afrika utara yang tidak didedahkan.

Keseluruhannya, negara itu kini merekodkan 599,044 kumulatif kes positif sejak permulaan pandemik pada 2020 lalu, dan 8,901 kematian.

Sehingga semalam, lebih 53.3 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan di seluruh Arab Saudi, dengan 50 peratus daripada keseluruhan populasinya telah lengkap divaksinasi.

Pada 30 Disember 2021 lalu, pihak berkuasa Arab Saudi melaksanakan semula langkah penjarakan sosial di Masjidil Haram, Makkah susulan peningkatan kes Covid-19, selain mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Negara itu baru-baru ini mengemas kini sekatan Covid-19, apabila mengumumkan denda baharu sebanyak AS$266 (1,000 riyal Saudi) bagi mereka yang melanggar peraturan penjarakan sosial, dan $266,000 (100,000 riyal) untuk pesalah berulang.

BERITA BERKAIT
POPULAR