
Arab Saudi mengumumkan permohonan visa umrah 1444 Hijrah bagi jemaah luar negara dibuka mulai hari ini (14 Julai 2022).
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan permohonan visa umrah 1444 Hijrah bagi jemaah luar negara dibuka mulai hari ini (14 Julai 2022).
Agensi Berita Arab Saudi (SPA) memetik kenyataan kementerian itu pada Rabu melaporkan, jemaah umrah dari dalam dan luar Arab Saudi akan mengerjakan ibadah umrah dan ziarah Masjid Nabawi mulai 30 Julai ini.
Syarat permohonan visa umrah boleh disemak di portal kementerian menerusi pautan https://haj.gov.sa/en/InternalPages/Umrah.
Bagi agensi umrah dan ziarah dari luar Arab Saudi yang ingin memohon lesen perkhidmatan umrah, maklumat lanjut boleh didapati di laman https://umralicense.haj.gov.sa.
Syarikat agensi umrah dan ziarah juga diingatkan untuk melampirkan dokumen pendaftaran perniagaan, keahlian IATA dan dokumen-dokumen berkaitan.
Menurut kenyataan itu, pemohon visa juga disyaratkan telah mengambil vaksinasi yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi, selain menpunyai sijil lengkap vaksinasi yang diperakui sah negara masing-masing bagi menjamin pencegahan penularan Covid-19.
Sebelum ini, Arab Saudi bersetuju melanjutkan tempoh sah visa umrah daripada sebulan kepada tiga bulan tanpa mengenakan sebarang sekatan kepada jemaah untuk melawat mana-mana wilayah di negara itu.
Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Al-Rabiah berkata susulan pelancaran perkhidmatan elektronik, semua pihak boleh memohon visa umrah, penginapan, pengangkutan dan perkhidmatan lain untuk ke Tanah Suci.
“Visa umrah akan dikeluarkan dalam tempoh kurang 24 jam dan tempoh sahnya akan dilanjutkan daripada satu hingga tiga bulan tanpa sebarang sekatan ke atas pelawat.
“Ini bermakna jemaah umrah boleh melawat mana-mana tempat di Arab Saudi menggunakan visa tiga bulan yang dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, jemaah umrah hanya dibenar berada dalam lingkungan tertentu di Tanah Suci tanpa boleh memasuki wilayah lain, kecuali yang tiba dengan visa pelancongan.
Langkah terbaharu itu membolehkan jemaah umrah untuk melawat bandar lain di Arab Saudi tanpa sekatan, katanya sambil menjelaskan kementeriannya akan menawarkan segala kemudahan untuk meningkatkan industri pelancongan Arab Saudi. – Agensi