Arab Saudi benar jemaah berusia 12 tahun ke atas tunai umrah

Kerajaan Arab Saudi hari ini mengumumkan kebenaran kepada jemaah dari luar negara yang berumur 12 tahun ke atas untuk menunaikan ibadah umrah.

Perkara itu diumumkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. Sebelum ini, negara itu hanya membenarkan individu berumur 18 tahun ke atas untuk menunaikan umrah.

Melalui peraturan baharu itu, semua penduduk di Arab Saudi serta rakyat Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan jemaah asing yang berumur 12 tahun ke atas boleh mendapatkan permit untuk menunaikan umrah, solat di Masjidilharam, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah.

Manakala rakyat di bawah GCC perlu menunjukkan bukti vaksinasi di platform Muqeem sebelum tiba di Arab Saudi serta mendaftar di aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna selepas tiba di negara itu.

Sebaik sahaja status kesihatan dikemas kini di aplikasi Tawakkalna, mereka dibenarkan menunaikan umrah dan solat di masjid utama itu.

Selain itu, jemaah asing yang tiba dari pelbagai negara juga wajib mematuhi prosedur sama, tetapi perlu menunjukkan bukti vaksinasi di platform Qudoom.

Syarikat umrah akan mengeluarkan permit yang diperlukan bagi jemaah asing yang menggunakan visa lawatan umrah.

Walaupun protokol penjarakan fizikal sudah dimansuhkan, tetapi jemaah wajib memakai pelitup muka dan membuat tempahan terlebih dahulu di dalam aplikasi yang disediakan sebelum mengerjakan solat dan menunaikan umrah. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR