Apple bukan lagi firma paling bernilai di dunia, kini Saudi Aramco

Syarikat minyak Saudi Aramco, milik kerajaan Arab Saudi, pada Khamis mengatasi firma teknologi Amerika Syarikat Apple untuk menjadi syarikat paling bernilai di dunia, lapor Agensi Anadolu.

Harga saham Saudi Aramco ditutup pada 44.70 Riyal Saudi (US$11.92) sesaham di bursa saham negara itu Tadawul untuk permodalan pasaran 8.94 trilion Riyal Saudi (US$2.38 trilion), menurut laporan Bernama.

Harga saham Apple berada pada US$146.07 sesaham pada indeks Nasdaq AS pada 11.10 pagi EDT untuk nilai pasaran US$2.36 trilion.

Ini julung kalinya nilai pasaran Saudi Aramco mengatasi Apple sejak 2020.

Menurut angka rasmi, sejak awal tahun ini, Apple menyaksikan penurunan harga sahamnya kira-kira 20 peratus, manakala saham Aramco melonjak hampir 28 peratus.

Ketika Apple bergelut dengan rantaian bekalan yang meruncing, krisis cip dan inflasi pengguna yang meningkat, Saudi Aramco mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak mentah.

Harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras antarabangsa melonjak kepada US$139 setong pada Mac, paras tertinggi sejak 2008.

Permintaan minyak global yang meningkat dengan pantas melebihi bekalan minyak mentah dalam tempoh selepas pandemik memainkan peranan penting dalam kenaikan harga minyak.

Selain itu, perang Rusia-Ukraine yang mengancam bekalan minyak mentah yang selamat ke Eropah telah mendorong harga yang lebih tinggi.

BERITA BERKAIT
POPULAR