Ancaman Russia: Biden arah rakyat AS segera tinggalkan Ukraine

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden memberi amaran kepada rakyatnya supaya meninggalkan Ukraine, sambil menegaskan bahawa tentera AS tidak akan dihantar untuk membawa mereka pulang sekiranya Russia menyerang negara itu.

“Rakyat Amerika harus keluar, harus keluar sekarang,” kata Biden dalam temu bual dengan Lester Holt NBC yang disiarkan pada Khamis, sambil menambah bahawa tidak ada senario yang boleh mendorongnya menghantar tentera bagi menyelamatkan rakyat Amerika.

“Kita sedang berdepan dengan salah satu tentera terbesar di dunia. Ini adalah situasi yang sangat berbeza, dan keadaan boleh menjadi kelam-kabut dengan pantas,” tambahnya.

“Ia akan menjadi perang dunia apabila rakyat Amerika dan Russia mula menembak antara satu sama lain. Kami berada dalam dunia yang sangat berbeza daripada yang pernah kami alami,” katanya lagi.

Ulasan Biden itu dibuat menyusul rentetan amaran yang semakin meningkat supaya warga AS meninggalkan Ukraine ketika beribu-ribu tentera Russia telah berkumpul di sempadannya.

Jabatan Negara berkata amaran kepada rakyat AS supaya meninggalkan Ukraine dikeluarkan semula kerana Russia boleh memulakan tindakan ketenteraan ke atas Ukraine pada bila-bila masa.

Pencerobohan tentera Russia ke atas Ukraine juga akan memberi kesan buruk kepada keupayaan Kedutaan AS untuk membantu rakyatnya meninggalkan Ukraine, kata jabatan itu.

Pada Oktober, jurucakap Jabatan Negara Ned Price menganggarkan terdapat kira-kira 6,600 warga AS tinggal di Ukraine.

Pegawai kanan pentadbiran Biden memberitahu Presiden Russia Vladimir Putin telah mengumpul semua yang diperlukan untuk melakukan pencerobohan yang boleh menyebabkan korban besar, termasuk kemungkinan kematian 25,000 hingga 50,000 orang awam.

Antara tindakan paling agresif yang boleh diambil Putin jika menceroboh adalah dengan mengepung dan menawan Kyiv, ibu negara Ukraine. Tetapi pegawai menegaskan bahawa penganalisis perisikan AS masih berpendapat Putin belum memutuskan sama ada untuk menyerang atau tidak. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR