Ancaman Russia: Barat berdepan saat paling bahaya, kata PM Britain

Britain berkata Barat berdepan ‘saat paling berbahaya’ dalam beberapa hari akan datang, ketika Russia memulakan latihan ketenteraan di Belarus dan Laut Hitam, susulan penambahan jumlah anggota tenteranya di sempadan Ukraine.

Ketegangan kekal tinggi, dengan Ukraine turut mengadakan ‘latihan perang’, tetapi pemimpin semua pihak memberi isyarat bahawa mereka berharap diplomasi masih boleh diguna pakai dalam apa yang Perdana Menteri Britain, Boris Johnson sebut sebagai krisis keselamatan terbesar di Eropah selama beberapa dekad.

Dalam pusingan baharu diplomasi, Menteri Luar Britain mengadakan perbincangan di Russia, Johnson pula melawat ibu pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Brussels dan pegawai dari Russia, Ukraine, Jerman serta Perancis akan bertemu di Berlin bagi membincangkan pertempuran antara tentera kerajaan dan pemisah pro-Russia di timur Ukraine sejak 2014.

Russia, yang menempatkan lebih 100,000 tentera berhampiran sempadan Ukraine, menafikan tuduhan Barat bahawa Moscow mungkin merancang menyerang bekas jirannya Soviet itu, walaupun ia berkata ia boleh mengambil tindakan teknikal yang tidak dinyatakan, melainkan tuntutan Kremlin dipenuhi.

“Sejujurnya saya tidak fikir keputusan telah diambil (oleh Moscow mengenai serangan). Tetapi itu tidak bermakna mustahil bencana akan berlaku tidak lama lagi,” kata Johnson pada sidang akhbar bersama Setiausaha NATO, Jeneral Jens Stoltenberg di Brussels.

“Ini mungkin saat yang paling berbahaya dalam tempoh beberapa hari akan datang, dalam apa yang diketakan krisis keselamatan terbesar dihadapi Eropah selama beberapa dekad, dan kita perlu memperbaikinya,” kata Johnson.

Stoltenberg juga berkata keadaan sekarang adalah detik berbahaya untuk keselamatan Eropah, sambil menambah jumlah tentera Russia semakin membesar dengan tempoh amaran untuk kemungkinan serangan berlaku semakin berkurangan.

Menurutnya, minggu lalu Russia menempatkan 30,000 tentera di Belarus serta pasukan operasi khas Spetsnaz, jet pejuang SU-35, sistem pertahanan udara S-400 dan peluru berpandu Iskander berkeupayaan nuklear. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR