Ancaman peningkatan kes Covid-19, Indonesia lancar vaksinasi besar-besaran

Ribuan rakyat Indonesia berbaris di Stadium Utama Bekasi hari ini bagi mendapatkan vaksin Covid-19 yang mensasarkan pemberian sebanyak 25,000 orang sehari.

Pihak berkuasa tempatan berkata, usaha tersebut sebahagian daripada sasaran negara Repubik itu untuk memberikan  sejuta dos vaksin sehari bermula pada bulan Julai dan disusuli dengan dua juta dos pada bulan Ogos.

Ketua Agensi Kesihatan Bekasi, Tanti Rohilawati berkata lebih 1,500 pekerja kesihatan terlibat, termasuk 550 petugas yang terlibat dalam proses pemberian vaksinasi.

Jumlah jangkitan semakin meningkat membuatkan Indonesia berada pada tahap bahaya. Semalam sahaja, Indonesia sudah mencatatkan peningkatan kes sebanyak 21,807 jangkitan dan melaporkan 467 kematian.

Keseluruhan kes kini sudah melebihi 2,178,000 dengan 58,491 kes kematian. Peningkatan kes Covid-19 bagi tempoh dua minggu ini juga menunjukkan peningkatan ketara bagi negara yang mempunyai jumlah penduduk keempat terbesar dunia itu.

Indonesia mensasarkan lebih daripada 181 juta dari 270 juta penduduknya akan menerima vaksin pada bulan Mac 2022.

Untuk rekod, Indonesia sudah menerima lebih 118.7 juta dos vaksin yang terdiri daripada Sinovac, AstraZeneca dan Sinopharm. Setakat ini 13.4 juta orang sudah menerima dos vaksinasi lengkap dan 15.8 juta orang yang menerima dos vaksin pertama.

Semalam, 14 juta dos vaksin Sinovac dari China juga selamat tiba di Indonesia.

BERITA BERKAIT
POPULAR