Ancaman berkembar Delta, Omicron cetus ‘tsunami’ Covid-19: Amaran WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran ancaman dua varian Covid-19 secara serentak di seluruh dunia sekarang ini boleh mengancam sistem kesihatan walaupun setelah dipertingkatkan sehingga ke tahap tertinggi.

WHO berkata varian Delta dan Omicron – kedua-duanya varian yang membimbangkan (VOC) – adalah ‘ancaman berkembar’ paling pantas menular, menyebabkan peningkatan kes harian yang semakin tinggi, mendorong lonjakan kemasukan ke hospital dan kematian.

Dalam kenyataan amaran hari ini, WHO berkata kes baharu peringkat global meningkat sebanyak 11 peratus minggu lalu, manakala Amerika Syarikat (AS) dan Perancis kedua-duanya mencatatkan rekod kes harian pada hari Rabu.

“Saya sangat prihatin bahawa Omicron, menular serentak dengan Delta, membawa kepada tsunami Covid-19,” kata Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

“Ini akan terus memberi tekanan besar kepada sektor kesihatan, terutama kakitangan yang semakin keletihan, sementara sistem kesihatan pula di ambang kehancuran,” katanya.

Beliau berkata tekanan terhadap sistem kesihatan bukan sahaja disebabkan oleh pesakit baharu Covid-19, tetapi juga sejumlah besar pekerja kesihatan yang jatuh sakit akibat dijangkiti Covid-19.

WHO memikirkan perjuangan menentang Covid-19 pada 2021 dan berharap pandemik itu akan berakhir tahun, namun memberi amaran bahawa ia akan bergantung kepada ekuiti vaksin yang lebih banyak.

Pertubuhan itu berharap 40 peratus penduduk di setiap negara diberi vaksin lengkap menjelang akhir tahun, dan mempunyai sasaran liputan 70 peratus menjelang pertengahan 2022.

Sementara itu, katanya maklumat salah menjadi gangguan berterusan pada 2021, sehingga menghalang usaha untuk menangani wabak itu.

“Dalam gelombang besar kes yang dilihat pada masa ini di Eropah dan di banyak negara di seluruh dunia, maklumat salah telah mendorong keraguan terhadap vaksin,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR