Ancaman 5G: Banyak syarikat tangguh, tukar pesawat ke AS

January 19, 2022 · Dunia

Syarikat penerbangan di seluruh dunia, bergegas membatalkan atau menukar penerbangan menuju ke Amerika Syarikat (AS) susulan pertikaian berterusan mengenai pelancaran teknologi telefon mudah alih 5G berhampiran lapangan terbang AS.

Isu itu dilihat memberi kesan mendalam, terutama terhadap Boeing 777, pesawat berbadan lebar jarak jauh yang digunakan oleh syarikat penerbangan di seluruh dunia.

Dua syarikat penerbangan Jepun secara langsung menamakan pesawat itu sebagai terjejas, terutama oleh isyarat 5G, apabila mereka mengumumkan pembatalan dan perubahan pada jadual penerbangan.

Emirates, yang berpangkalan di Dubai, syarikat penerbangan utama perjalanan Timur dan Barat, mengumumkan ia akan menghentikan penerbangan ke Boston, Chicago, Dallas-Fort Worth, Houston, Miami, Newark, New Jersey, Orlando, Florida, San Francisco dan Seattle, berkaitan isu 5G yang bermula pada Rabu.

Bagaimanapun, syarikat itu akan meneruskan jadual penerbangan ke Los Angeles, New York dan Washington.

Dalam pengumumannya, Emirates menyebut pembatalan itu sebagai perlu kerana “kebimbangan operasi yang berkaitan dengan penempatan perkhidmatan rangkaian mudah alih 5G yang dirancang di lapangan terbang tertentu di AS.”

“Kami bekerjasama rapat dengan pengeluar pesawat dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengurangkan kebimbangan operasi, dan kami berharap dapat menyambung semula perkhidmatan ke AS kami secepat mungkin,” kata syarikat penerbangan milik kerajaan itu.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya melancarkan liputan 5G di seluruh lapangan terbangnya tanpa sebarang insiden, seperti berpuluh-puluh negara lain. Tetapi di AS, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) bimbang bahawa rangkaian C-Band 5G boleh mengganggu peralatan penerbangan.

All Nippon Airways (ANA) Co Ltd Jepun pula dalam satu kenyataan berkata FAA “telah menunjukkan bahawa gelombang radio daripada perkhidmatan tanpa wayar 5G mungkin mengganggu altimeter pesawat.” Altimeter mengukur ketinggian pesawat di langit, peralatan penting untuk terbang.

“Boeing telah mengumumkan sekatan ke atas semua syarikat penerbangan yang mengendalikan pesawat Boeing 777, dan kami telah membatalkan atau menukar pesawat untuk beberapa penerbangan ke/dari AS berdasarkan pengumuman oleh Boeing,” kata ANA.

Susulan isu 5G itu, ANA membatalkan 20 penerbangan ke bandar seperti Chicago, Los Angeles dan New York.

Japan Airlines Co Ltd juga berkata mereka telah dimaklumkan bahawa isyarat 5G “mungkin mengganggu altimeter radio yang dipasang pada Boeing 777.”

“Kami akan mengelak daripada menggunakan model ini di laluan benua Amerika sehingga kami dapat mengesahkan keselamatannya dan kami kesal untuk memaklumkan bahawa syarikat akan membatalkan penerbangan yang mana pesawat itu tidak boleh ditukar kepada Boeing 787,” kata syarikat penerbangan itu.

Lapan penerbangannya terjejas pada Rabu – tiga perjalanan penumpang dan lima untuk kargo.

Air India juga mengumumkan di Twitter bahawa ia akan membatalkan penerbangan ke Chicago, Newark, New York dan San Francisco “kerana penggunaan peralatan komunikasi 5G”.

Korean Air, syarikat penerbangan terbesar Korea Selatan, serta-merta menukar empat pesawat penumpang daripada Boeing 777 kepada 787 dan dua pesawat kargo daripada 747-8 kepada 747-400, dan akan terus mengelak daripada mengendalikan 777 dan 747-8 di lapangan terbang AS yang terjejas, kata jurucakapnya Jill Chung.

Cathay Pacific Hong Kong berkata syarikat itu mengerahkan pelbagai jenis pesawat jika perlu ke lapangan terbang yang terjejas dan penerbangannya ke AStidak terjejas setakat ini.

EVA Air Taiwan juga berkata mereka telah mengambil “langkah kontingensi untuk memastikan keselamatan penerbangan,” tanpa mengulas lanjut.

Pembatalan itu dibuat walaupun selepas syarikat pengendali telefon mudah alih AT&T dan Verizon menangguhkan perkhidmatan tanpa wayar baharu 5G berhampiran beberapa lapangan terbang AS yang dirancang minggu ini.

FAA akan hanya membenarkan pesawat dengan altimeter yang tepat dan boleh dipercayai untuk beroperasi di sekitar wilayah 5G berkuasa tinggi. Tetapi pesawat dengan altimeter yang lebih lama tidak akan dibenarkan mendarat di bawah keadaan penglihatan yang rendah. – Agensi

Berita berkaitan
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024· Isu semasa
Anwar sahkan akan hadir ke sidang APEC walaupun digesa boikot
November 7, 2023· Isu semasa
Tindakan akan diambil terhadap pihak kaitkan PKR dengan Liberal International: Fahmi
November 5, 2023· Isu semasa
PAS anjur perhimpunan hujung minggu ini tak larang laungan takbir: Laporan
October 23, 2023· Politik
Popular
Aktiviti Ramadan kembali hidup di Masjidil Haram, Masjid Nabawi
April 2, 2022
Singapura beri amaran kesan buruk, eraksi berpanjangan kopi Pejuang
May 26, 2022
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok