
Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX dan Tesla, Elon Musk.
Anak perempuan transgender Elon Musk memfailkan permohonan untuk menukar namanya mengikut identiti jantina baharunya sambil menjelaskan dia tidak lagi tinggal atau tidak mahu mempunyai apa-apa hubungan dengan bapa kandungnya itu.
“Saya tidak lagi tinggal bersama atau ingin mempunyai hubungan dengan bapa kandung saya dalam apa jua cara, bentuk atau rupa,” kata Xavier Alexander Musk yang memohon menggunakan nama Vivian Jenna Wilson.
Petisyen untuk pertukaran nama dan sijil kelahiran baharu yang mencerminkan identiti jantina baharunya telah difailkan di Mahkamah Tinggi Daerah Los Angeles di Santa Monica, Amerika Syarikat (AS) pada April.
Ia terbongkar baru-baru ini dalam beberapa laporan media dalam talian.
Alexander, yang baru berusia 18 tahun – umur yang dibenarkan di California – telah meminta mahkamah menukar pengiktirafan jantinanya daripada lelaki kepada perempuan dan mendaftarkan nama baharunya, menurut dokumen mahkamah yang tersedia dalam talian melalui PlainSite.org.
Nama baharunya telah disunting dalam dokumen menerusi talian. Ibunya ialah Justine Wilson, yang bercerai dengan Musk pada 2008.
Tiada penjelasan lanjut mengenai keretakan hubungan antara Alexander dan bapanya, ketua Tesla dan SpaceX yang cuba mengambil alih platform media sosial, Twitter dengan nilai AS$44 bilion.
Baik peguam yang mewakili Alexander mahupun pejabat media Tesla tidak memberikan sebarang ulasan.
Pada Mei, kira-kira sebulan selepas dokumen perubahan nama dan jantina difailkan, Musk mengisytiharkan sokongannya kepada Parti Republikan, yang wakil rakyatnya menyokong mengehadkan hak transgender di AS. – Agensi