‘Amukan’ Omicron semakin ganas

Penasihat utama kesihatan Amerika Syarikat (AS), Anthony Fauci mengeluarkan amaran bahawa varian Omicron mampu mencetuskan gelombang baharu jangkitan Covid-19 di seluruh dunia.

Katanya, ‘amukan’ Omiron juga bakal mencetuskan sekatan baharu dan kebimbangan terhadap kemampuan kapasiti hospital, sekali gus menjadikan musim sejuk tahun ini lebih ‘suram’.

“Satu hal sangat jelas ialah kebolehan luar biasa Omicron untuk menular dan ia sudah ‘mengganas’ di seluruh dunia,” jelasnya.

Apabila Omicron pertama kali dikesan di Afrika Selatan pada November lalu, Omicron sudah mula menular di berpuluh-puluh negara, mendorong banyak negara dunia mengenakan kembali sekatan perjalanan dan tindakan pencegahan lain.

Walaupun ada kajian menyatakan ia kurang bahaya daripada Delta, namun Omicron sangat cepat bermutasi dan mempunyai kekebalan terhadap vaksin serta menular dengan lebih pantas.

Fauci turut memberi peringatan walaupun kadar kemasukan pesakit ke hospital akibat varian baharu ini lebih rendah daripada Delta, mungkin disebabkan oleh imuniti diperoleh pesakit terhadap jangkitan sebelum ini.

“Apabila terdapat banyak jangkitan baharu, walaupun kurang teruk, dalam tempoh satu atau ke dua minggu mendatang, hospital akan menjadi penuh terutamanya di negara yang mempunyai tahap vaksinasi rendah,” jelasnya.

Semalam, Senator Elizabeth Warren dan Cory Booker masing-masing memaklumkan di laman Twitter bahawa mereka positif Covid-19 walaupun sudah lengkap divaksin dan mendapatkan dos penggalak.

Kedua-dua mereka tidak menunjukkan sama ada dijangkiti varian Omicron atau sebaliknya.

Fauci bagaimanapun menggesa penduduk AS yang masih tidak divaksin supaya mendapatkan suntikan dan dos penggalak bagi ‘perlindungan diri’.

Jelasnya, walaupun hampir 70 peratus penduduk AS sudah diberikan sekurang-kurangnya satu dos suntikan, sementara Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit mengesahkan masih terdapat 50 juta lagi yang layak tetapi belum divaksin.

“Penularan Omicron dibimbangi akan menyebabkan dalam tempoh beberapa minggu hingga ke beberapa bulan akan datang menjadi sukar terutamanya apabila kita memasuki musim sejuk,” ujarnya lagi.

Sehingga kini, Omicron menyumbang hampir tiga peratus kes di AS dan angka itu dijangka akan terus melonjak dengan cepat seperti di negara dunia lain. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR