
Amerika Syarikat merancang menghantar dron MQ-1C Grey Eagle ke Ukraine bagi berdepan tentera Russia, tetapi ditangguhkan. - Gambar Reuters
Rancangan pentadbiran Biden untuk menjual empat dron boleh membawa senjata besar kepada Ukraine ditangguh kerana bimbang peralatan pengawasannya yang canggih mungkin jatuh ke tangan musuh, menurut dua orang yang mengetahui perkara itu.
Bantahan teknikal terhadap penjualan itu dibangkitkan semasa semakan lebih mendalam oleh Pentadbiran Keselamatan Teknologi Pertahanan Pentagon yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan teknologi bernilai tinggi selamat daripada tangan musuh. Rancangan itu diluluskan Rumah Putih, Mac lalu.
Rancangan untuk menjual empat dron MQ-1C Grey Eagle kepada Ukraine yang boleh dibekalkan dengan peluru berpandu Hellfire bagi kegunaan medan perang menentang Russia pertama kali dilaporkan oleh Reuters awal bulan Jun.
Bantahan terhadap rancangan itu menyusul kerana bimbang radar dan peralatan pengawasan dipasang pada dron berkenaan boleh menimbulkan risiko keselamatan bagi Amerika Syarikat (AS) jika ia jatuh ke tangan Russia.
Sumber itu berkata pertimbangan ini telah diabaikan dalam semakan awal tetapi muncul dalam mesyuarat di Pentagon lewat minggu lalu.
“Semakan keselamatan teknologi adalah amalan standard untuk pemindahan artikel pertahanan AS kepada semua rakan kongsi antarabangsa.
“Semua kes disemak secara individu atas merit mereka sendiri. Melalui proses yang ditetapkan, kebimbangan keselamatan negara diserahkan kepada pihak berkuasa yang meluluskan,” kata jurucakap Pentagon, Sue Gough.
Keputusan sama ada untuk meneruskan atau tidak perjanjian itu kini sedang dikaji secara lebih terperinci dalam rantaian perintah di Pentagon, tetapi tempoh untuk sebarang keputusan tidak pasti, kata salah seorang pegawai AS.
Satu penyelesaian untuk meneruskan jualan adalah menukar pakej radar dan sensor sedia ada untuk peralatan yang kurang canggih, tetapi itu boleh mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan, kata satu sumber.
Jika kes untuk menjual dron itu dibenarkan, Kongres akan diberi peluang untuk menyekatnya, walaupun itu dilihat sebagai tidak mungkin.
Empat dron Gray Eagle buatan General Atomics pada awalnya dijadualkan diserahkan kepada tentera AS, kata orang yang biasa dengan proses itu.
Menurut dokumen belanjawan Pentagon, Grey Eagles berharga $10 juta setiap satu. – Reuters