
Korea Selatan dan Amerika Syarikat melancarkan ujian peluru berpandu.
Amerika Syarikat (AS) mengambil tindakan dengan mengenakan sekatan ke atas lima entiti yang didakwanya terlibat dalam memberi sokongan kepada pembangunan senjata pemusnah dan program peluru berpandu balistik Korea Utara.
Langkah tersebut diambil bagi memberi tekanan ke atas Pyongyang berikutan siri ujian peluru berpandu baru-baru ini.
Jabatan Perbendaharaan AS dalam satu kenyataan berkata tindakan sekatan menyasarkan Kementerian Industri Roket, yang didakwanya sebuah organisasi penyelidikan dan pembangunan senjata pemusnah Korea Utara yang dikaitkan secara langsung dalam membangunkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) baharu.
Sekatan itu juga dikenakan terhadap empat entiti lagi, yang merupakan anak syarikat pertubuhan itu – Hapjanggang Trading Corporation, Korea Rounsan Trading Corporation, Sungnisan Trading Corporation dan Unchon Trading Corporation.
Langkah itu diambil susulan ketegangan yang semakin meningkat dengan Korea Utara berikutan dua ujian peluru berpandu balistik pada 26 Feb dan 4 Mac melibatkan sistem ICBM baharu yang sedang dibangunkan Korea Utara yang dijalankan sejak 2017.
“Ujian peluru berpandu balistik provokatif DPRK (Republik Rakyat Demokratik Korea) adalah ancaman jelas kepada keselamatan serantau dan global, ia secara terang-terangan melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB,” kata Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen dalam kenyataan itu.
“Amerika Syarikat komited untuk menggunakan kuasa sekatan kami sebagai tindak balas terhadap pembangunan berterusan senjata pemusnah besar-besaran dan peluru berpandu balistik DPRK,” tambahnya lagi.