Amerika dakwa tentera Rusia lakukan jenayah perang di Ukraine

Rusia didakwa melakukan jenayah perang dalam pencerobohannya ke atas Ukraine dan bukti sedang dikumpulkan pasukan penyiasat bagi menyokong tuduhan tersebut.

Amerika Syarikat mendakwa menerima bukti berhubung dakwaan Rusia terlibat dalam jenayah perang sepanjang kempen ketenteraannya di negara jiran mereka itu.

Jurucakap Jabatan Pertahanan John Kirby berkata Pentagon sudah menerima dan akan menyemak bukti askar Rusia melakukan jenayah perang di Ukraine sepanjang empat minggu pencerobohan sejak 24 Februari lalu.

“Kami melihat bukti jelas tentera Rusia melakukan jenayah perang dan kami membantu mengumpulkan bukti itu,” katanya.

Bagaimanapun, Kirby tidak menyatakan tindakan diambil oleh tentera Rusia yang didakwanya melanggar undang-undang perang sedia ada.

Walaupun kempen ketenteraan sudah masuk minggu keempat, namun Rusia dilihat belum berjaya sepenuhnya dan ia menyebabkan serangan ditingkatkan ke atas sasaran awam.

Serangan terhadap sasaran awam adalah salah jika mengikut Konvensyen Geneva.

Minggu lalu, tentera Rusia mengebom sebuah hospital bersalin di Mariupol dan membunuh lima orang awam.

Tentera Rusia mendakwa hospital itu menjadi ibu pejabat kumpulan sayap kanan, “Batalion Azov”.

Beberapa hari kemudian, tentera Rusia menyerang sebuah teater di bandar yang sama yang digunakan orang awam sebagai tempat dan mengakibatkan orang ramai terperangkap di bawah runtuhan selama berjam-jam.

BERITA BERKAIT
POPULAR