
Amerika Syarikat mengumumkan bantuan kewangan baharu kepada Ukraine.
Amerika Syarikat bakal menghantar kira-kira seramai 8,500 tentera sebagai persediaan untuk membantu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi menyekat serangan Russia terhadap Ukraine.
Arahan itu dikeluarkan Presiden Joe Biden selepas mencapai persetujuan dengan pemimpin Eropah lain dalam usaha menangkis satu lagi bentuk penjajahan alaf moden.
“Saya mengadakan pertemuan yang sangat baik dan mencapai kata sepakat dengan semua pemimpin Eropah,” katanya selepas menamatkan sidang video selama satu jam 20 minit dengan pemimpin sekutu dari Eropah dan NATO.
Turut serta dalam rundingan membincangkan krisis Russia-Ukraine itu adalah pemimpin Perancis, Itali, Poland dan Kesatuan Eropah (EU).
Di London, pejabat Perdana Menteri, Boris Johnson, menyatakan semua pemimpin bersetuju kepentingan perpaduan antarabangsa dalam menghadapi tekanan Russia yang semakin meningkat.
Canselor Jerman, Olf Scholz, turut mendesak Russia mengurangkan keganasan, manakala Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg memberi amaran akibat akan timbul jika Moscow menceroboh Ukraine.
Bagaimanapun, Presiden Russia, Vladimir Putin, menegaskan beliau tidak berniat untuk menyerang, namun pada masa sama menempatkan kira-kira 100,000 tentera di sempadan Ukraine.
Sebelum ini Russia menguasai Crimea pada tahun 2014 dan menyokong tentera pemisah di timur.
Moscow sebelum ini menuntut Ukraine, bekas negara Kesatuan Soviet, tidak dibenarkan menyertai NATO serta pakatan lain bersama AS sebagai balasan untuk mengurangkan ketegangan.
Namun tuntutan itu ditolak AS dan NATO manakala Putin diarah mengundurkan tenteranya dari dari sempadan Ukraine.
Sementara itu, jurucakap Pentagon, John Kirby berkata, kira-kira 8,500 tentera AS berada dalam keadaan bersiap siaga untuk ditempatkan di rantau itu bersama Pasukan Tindakan Balas NATO.
NATO juga berkata, blok itu menghantar jet dan kapal perang untuk menguatkan kedudukannya di timur eropah.