Al-Aqsa satukan rakyat Palestin

Rakyat Palestin kembali ke pekarangan Masjid Al-Aqsa semalam (16 April 2022), setelah pertempuran ganas antara mereka dan tentera rejim Zionis Israel pada Jumaat, tetapi ketegangan dan kebimbangan kekal apabila kumpulan ekstremis Yahudi mengancam untuk menyerbu masjid itu pada Ahad.

Nabil Faydi, seorang penganalisis politik dari Baitulmaqdis Timur, berkata penduduk Baitulmaqdis bimbang perpecahan berlaku di Masjid Al-Aqsa antara umat Islam dan ekstremis Yahudi seperti yang berlaku di Masjid Ibrahimi di Hebron.

Tetapi beliau menambah bahawa adalah mustahil untuk dasar seperti itu berjaya di Al-Aqsa.

“Masjid Al-Aqsa dan Dome of the Rock adalah garis merah bagi rakyat Palestin.

“Israel cuba memisahkan 350,000 rakyat Palestin yang tinggal di Baitulmaqdis Timur daripada rakyat Palestin yang tinggal di Tebing Barat, Semenanjung Gaza, dan di dalam Israel.

“Tetapi peristiwa baru-baru ini telah membuktikan bahawa rakyat Palestin bersatu. Ini adalah berkaitan Masjidil Aqsa,” katanya.

Beliau menyifatkan serangan pada Jumaat lalu sebagai ‘ujian’ oleh rejim Zionis Israel untuk mengukur reaksi Palestin.

“Tetapi apa yang berlaku di Al-Aqsa mengesahkan bahawa rakyat Palestin bersedia untuk mempertahankan masjid itu dengan nyawa mereka. Mereka tidak akan membenarkan amalan ritual Yahudi di dalam tapak ketiga paling suci Islam.”

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam pencerobohan Israel ke dalam masjid suci dan serangan mereka terhadap jemaah di dalam Masjid Al-Qibli dan di plaza Al-Aqsa, yang menyebabkan lebih 150 jemaah cedera dan menyaksikan ratusan yang lain ditangkap.

“Ini adalah penghinaan terhadap perasaan seluruh umat Islam dan pelanggaran terang-terangan terhadap resolusi serta keputusan antarabangsa dan ia adalah kejadian yang berbahaya,” kata OIC.

OIC menganggap rejim Zionis Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas kejadian jenayah harian terhadap rakyat Palestin, wilayah dan tempat perlindungan mereka, selain menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bertindak tegas.

Di sebalik perbezaan agenda politik dalam kalangan warga Palestin – sama ada mereka sekular, Islam atau Marxist – yang menyatukan mereka adalah Masjid Al-Aqsa, yang mereka tetapkan sebagai garis merah tidak boleh disentuh.

Ibrahim Al-Anbawi, seorang penduduk Baitulmaqdis Timur, menyifatkan keadaan semakin memburuk dan berkata terdapat kemarahan yang mendalam dalam kalangan penduduk Baitulmaqdis kerana apa yang berlaku pada Jumaat, sangat memalukan Jordan dan Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Kedua-duanya dituduh gagal melindungi Tanah Suci Islam, dan mereka digesa untuk mengambil pendirian yang kuat terhadap ancaman Israel.

Sementara itu, pencerobohan besar-besaran akan menandakan ekstremis Yahudi akan bergerak selama seminggu melalui Masjid Al-Aqsa, yang pastinya akan menambahkan lagi kemarahan rakyat Palestin.

Pemimpin Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) Ismail Haniyeh memberi amaran pertempuran belum berakhir dan penentangan tidak akan berhenti selagi tidak ada perjanjian gencatan senjata dengan penjenayah Israel, dan rejim itu mesti menghentikan pencabulannya.

Sebarang kemerosotan keselamatan di Masjid Al-Aqsa akan segera membayangi keadaan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Mei tahun lalu, Hamas menyasarkan Baitulmaqdis dan Tel Aviv dengan peluru berpandu susulan serangan pihak berkuasa Israel ke atas Masjid Al-Aqsa, mencetuskan Perang 11 hari antara Israel dan Gaza, wilayah yang ditadbir Hamas.

Puluhan pelajar Universiti Al-Quds di Abu Dis, tenggara Baitulmaqdis, terkesan selepas terhidu gas pemedih mata yang ditembak tentera rejim Zionis Israel di dalam dan sekitar kampus mereka pada Sabtu, ketika pelajar berkumpul untuk mengutuk kekejaman Israel di Baitulmaqdis dan Jenin. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR