Aktiviti beli-belah di kedai lebih terdedah dijangkiti Covid-19

Satu kajian di London mendapati individu yang melakukan aktiviti membeli-belah di kedai pada setiap minggu adalah dua kali ganda lebih terdedah untuk dijangkiti virus Covid-19, berbanding individu membeli bekalan barangan menerusi dalam talian.

Daily Mail melaporkan, hasil Kajian Pemantauan Virus di bawah Kumpulan Penasihat Saintifik untuk Kecemasan (SAGE) mengkaji aktiviti seharian hampir 10,000 penduduk di England dan Wales bagi tempoh pada September dan November 2021.

Kajian menunjukkan individu yang berkunjung ke kedai seminggu sekali lebih terdedah dijangkiti virus itu dengan lonjakan risiko sebanyak hampir 2.2 peratus.

Ia diikuti dengan individu yang bersukan luar iaitu dengan lebih 1.36 kali terdedah untuk diuji positif Covid-19.

Bagaimanapun, penyelidik tetap mengakui golongan yang melakukan aktiviti itu mungkin disebabkan sebahagian aktiviti sosial dilampirkan dalam acara tersebut dan bukannya bermain sukan atas kerelaan sendiri.

Melalui kajian itu, risiko dijangkiti virus Covid-19 selepas mengunjungi pub beberapa kali dalam tempoh seminggu adalah sama dengan individu yang kerap menaiki pengangkutan awam.

Namun, tempoh masa yang dianalisis bermaksud ia tidak akan mengambil kira sebarang data daripada penularan kes dari varian Omicron yang hanya melonjak pada pertengahan Disember lalu.

Sementara itu, aktiviti lain yang berisiko tinggi dijangkiti virus itu termasuk ketika makan di restoran atau kafe, hadir secara fizikal ke tempat kerja dan melakukan senaman di gim.

Kajian itu juga turut menyenaraikan beberapa aktiviti lain yang membawa risiko sangat rendah untuk dijangkiti Covid-19 seperti individu yang mengunjungi teater, pawagam, konsert, acara sukan atau pergi ke salon kecantikan dan kedai gunting rambut.

BERITA BERKAIT
POPULAR